BATU PAHAT: Larangan penjualan rokok elektronik yang dilaksanakan sebelum ini dikekalkan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang mengingkarinya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, keputusan berkenaan telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri lapan tahun lalu dan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2016.
Justeru, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti pihak atau premis serta restoran yang masih berdegil menjual vape di negeri ini.
“Kita akan mengambil tindakan bersama PBT (lesen perniagaan) sekiranya didapati premis perniagaan tersebut menjual vape secara terbuka kepada pelanggan.
“Kerajaan negeri juga akan memikirkan cara tindakan yang akan dikenakan terhadap aktiviti penjualan vape ini secara dalam talian,” katanya selepas melancarkan Fasiliti Pandu Lalu KitaRecycle dan Sumbangan Bakul Limau 2024 di Dewan Orang Ramai Yong Peng, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Nur Faiz Jamil dan Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan, SWM Environment Sdn Bhd, Norsida Taslim Duka.
Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng turut mengalu-alukan orang ramai untuk membuat aduan di pejabat kesihatan daerah atau negeri sekiranya terlihat aktiviti penjualan vape.
Mengenai Fasiliti Pandu Lalu KitaRecycle di Yong Peng, kemudahan itu merupakan langkah proaktif SWM Environment untuk memudahkan komuniti setempat menguruskan sisa yang boleh dikitar semula, sekali gus menyumbang terhadap kelestarian alam.
“Fasiliti ini beroperasi secara pandu lalu dan menggunakan aplikasi KitaRecycle dan sedia menerima 25 jenis barangan kitar semula termasuk botol kaca, perkakas elektrik dan peranti elektronik.
“Difahamkan bagi pengurusan sisa pepejal di negeri ini perbelanjaannya mencapai RM215,000 sebulan dan RM2.6 juta setahun untuk setiap PBT dan kita akan dapat menjimatkannya sekiranya aktiviti kitar semula dijalankan,” katanya
Pada majis berkenaan, SWM Environment dan MDYP melalui Yayasan Makmur MDYP turut memberi sumbangan kepada 80 keluarga kurang berkemampuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – UTUSAN










