JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ini memperuntukkan kira-kira RM8.7 juta pemberian subsidi menerusi Jualan Rahmah pada tahun ini.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengadakan lebih 600 Jualan Rahmah di 26 kawasan Parlimen di negeri ini, tidak termasuk Jualan Rahmah secara istimewa yang diadakan sempena musim perayaan seperti yang dijalankan ketika ini di tiga lokasi terpilih sempena Tahun Baharu Cina.
“Pada bulan lalu, kita telah mengadakan 26 Jualan Rahmah bergerak di 26 lokasi yang memberikan potongan harga bagi barangan makanan dan keperluan terpilih.
“Pada bulan ini, kita berhasrat menggandakan penganjuran program tersebut kepada 52 di 26 lokasi terpilih dalam memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya sempena Jualan Rahmah Tahun Baharu Cina di Flat Taman Ungku Tun Aminah, di sini hari ini.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini, KPDN Johor mengadakan Jualan Rahmah di Muar (semalam), Flat Taman Ungku Tun Aminah (hari ini) dan di Chamek, Kluang (esok), lokasi yang mempunyai ramai komuniti Cina.
Lilis Saslinda berkata, pihaknya juga akan mengadakan Jualan Rahmah istimewa sempena musim perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.
Setiap penganjuran program sempena musim perayaan itu, pihaknya memperuntukkan pemberian subsidi lebih RM100,000.
“Sekiranya Kita memperoleh peruntukan termasuk daripada lebihan dan penjimatan yang dilakukan, kita akan mengadakan lebih banyak program Jualan Rahmah secara bergerak.
“Kita akan habiskan peruntukan untuk membolehkan rakyat di negeri ini dapat menikmati penjimatan yang ditawarkan,” katanya. – UTUSAN










