Kerajaan ketika ini sembang kosong - Ahmad Fadhli - Utusan Malaysia

Kerajaan ketika ini sembang kosong – Ahmad Fadhli

AHMAD FADHLI SHAARI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini sekadar  ‘sembang kosong’ sehingga menyebabkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membuat perhimpunan dan menuntut tiga agenda reformasi di luar Parlimen hari ini. 

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, perhimpunan tersebut menunjukkan ada perkara tidak kena pada kerajaan hari ini. 

Menurut beliau, umum mengetahui Bersih sebelum ini mempunyai hubungan yang baik secara peribadi dan memberi sokongan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang kini berada dalam Kerajaan Madani.

“Jadi, apabila Bersih terpaksa buat seperti ini (berhimpun dan berarak ke Parlimen) untuk memberitahu kepada kerajaan tentang tuntutan ini,  sudah tentu ada yang tidak kena dalam pelaksanaan reformasi oleh pihak kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kami sudah lama tahu sebelum ini bahawa kerajaan hari ini hanyalah kerajaan yang ‘sembang kosong’.

“Hanya sekadar menyebut untuk melaksanakan reformasi, tetapi apabila mereka bekerjasama dengan ‘kleptoktrat’, yang mereka dakwa sebagai kaki rasuah sebelum ini, maka akan ada nilai-nilai yang terpaksa mereka ‘gadaikan,”katanya ketika ditemui di luar Parlimen hari ini. 

Beliau antara enam Ahli Parlimen yang menerima memorandum diserahkan Bersih  yang berarak ke Parlimen untuk menuntut reformasi dalam Kerajaan Madani dan melaksanakan tiga tuntutan dikemukakan mereka.

DISERAHKAN

Memorandum berkenaan masing-masing diserahkan kepada empat ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Sungai Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Selain itu, dua ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Al-Sagoff dan Ahmad Fadhli.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhil berkata, pihaknya yakin  Bersih tidak akan berhenti setakat ini sahaja tetapi akan ada lagi gerakan selepas ini untuk memastikan kerajaan benar-benar melaksanakan janji reformasi PH sebelum ini.

Jelasnya, pihak  Perikatan Nasional (PN) dan  juga pembangkang sentiasa bekerjasama dengan sebarang agenda yang sama dengan Bersih. 

“Saya perhatikan tuntutan daripada Bersih ini sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita akan teliti dan bawa (tuntutan) kepada pihak pimpinan PN untuk dipertimbangkan,” ujar beliau. 

Terdahulu, dianggarkan kira-kira 60 peserta yang majoriti memakai pakaian berwarna kuning dan hitam mula berkumpul seawal pukul 8 pagi dalam perhimpunan anjuran Bersih sebelum berarak ke luar bangunan Parlimen.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN