Keputusan semakan kehakiman Rumah Bonda 4 April - Utusan Malaysia

Keputusan semakan kehakiman Rumah Bonda 4 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 4 April ini untuk keputusan semakan kehakiman Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur (Rumah Bonda) bagi mencabar tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan menyita (Lak) premis berkenaan.

Rumah Bonda selaku pemohon menerusi pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali memfailkan semakan kehakiman pada 13 Ogos 2021 dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden pertama dan kedua.

Peguam Asiah Abd. Jalil yang mewakili pemohon memberitahu pihak media, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pemohon dan responden menerusi aplikasi Zoom hari ini.

“Keputusan semakan kehakiman itu akan disampaikan melalui aplikasi Zoom, pada 10 pagi,” kata peguam itu. Prosiding itu turut disertai Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir mewakili responden.

Pada 15 November 2021, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Rumah Bonda untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Lak atau sita premis berkenaan di Taman Setapak, susulan dakwaan penderaan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 25 Julai 2023 memerintahkan semakan kehakiman pertubuhan kebajikan itu dikembalikan untuk didengar di Mahkamah Tinggi, selepas berpuas hati terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda.

Dalam permohonan itu, Siti Bainun mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai tahun sama adalah dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap Bella yang tular pada 5 Julai 2021.

Siti Bainun antara lain mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes itu sedangkan remaja tersebut tiada kaitan dan bukan penghuni Rumah Bonda.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman apabila didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN