KEB 2024: Perkasa Mara, kembalikan Bank Bumiputera - Utusan Malaysia

KEB 2024: Perkasa Mara, kembalikan Bank Bumiputera

Norsyahrin Hamidon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mahu Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 memberi tumpuan kepada pemerkasaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta menubuhkan semula Bank Bumiputera.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, Mara dihasilkan menerusi KEB pertama pada 1965 dan selaras dengan Fasal 153 berhubung keistimewaan orang Melayu.

“Selain itu, kita mahu Bank Digital Bumiputera ditubuhkan. Sudah sampai masanya ditubuhkan bank khas untuk orang Melayu.

“Kalau tahun 1965, KEB pertama mengusulkan penubuhan Bank Bumiputera dan berjaya ditubuhkan mengapa tidak kita tubuhkan Bank Digital khas untuk orang-orang Melayu pada masa sekarang?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dijadual berlangsung dari 29 Februari hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KEB 2024 bersifat lebih inklusif, maka selain membincangkan isu berkaitan ekonomi bumiputera, ia juga diharapkan mendapat kerjasama dan sokongan bersama masyarakat Cina dan India bagi membantu mena­ngani masalah kemiskinan.

Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata, DPMM mahu KEB 2024 hanya disertai masyarakat bumiputera.

ISU

Menurut beliau, kaum lain tidak wajar untuk dilibatkan dalam KEB 2024 kerana ia dikhususkan untuk membincangkan isu serta permasalahan dalam kalangan bumiputera.

“Perlukah perbincangan soal agenda bumiputera kena panggil kaum lain? Adakah tidak ada bijak pandai orang Melayu? Kita ada Majlis Professor Negara yang turut ada profesor Melayu yang hebat.

“Kita juga ada usahawan Me­layu yang hebat dan berjaya yang boleh berkongsi panda­ngan dan rahsia kejayaan mereka didalam KEB 2024.”

“Setiap tahun kita adakan National Economic Forum dan sememangnya semua kaum terlibat, itu ialah platform untuk dibincangkan masalah semua kaum bukannya di KEB 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff berkata, KEB 2024 perlu me­numpukan pelaksanaan inisiatif bagi membantu bumiputera dengan lebih holistik dan menyeluruh.

Katanya, ia terutama dari segi aspek pemantauan pelaksanaan dan impak serta output inisiatif tersebut.

“Kalau dulu, mungkin pe­ngukuran prestasi dari segi berapa banyak dana telah di­salurkan, berapa ramai pe­nerimanya dan berapa banyak bayaran balik oleh penerima (jika bantuan berbentuk pinjaman),” katanya.

Justeru, katanya, pengukuran harus dari segi bagaimana penerima mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.

“Sebagai contoh, adakah gaji dan pendapatan semakin me­ningkat, berjaya mengembangkan perniagaan, mampu me­nggaji ramai pekerja, me­nembusi pasaran antarabangsa dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN