Kamera badan selesai isu integriti, salah laku polis - Utusan Malaysia

Kamera badan selesai isu integriti, salah laku polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan kamera badan yang dijangka bermula Oktober ini boleh menangani isu integriti melibatkan pegawai dan anggota polis terutama berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau percaya menerusi kamera badan mampu mengesan perlakuan salah laku atau masalah integriti dalam warga polis menjalankan tugas.

Menurut beliau, ini secara tidak langsung boleh memperkasakan tahap integriti dan ketelusan pegawai dan anggota polis.

“Melalui pemakaian kamera badan juga dapat meningkatkan pembuktian dalam sesuatu kes yang kemudian boleh digunakan dalam siasatan.

“Dengan penggunaan kamera badan dijangka boleh memulihkan imej PDRM dalam kalangan masyarakat kerana rakamannya boleh dijadikan bukti di mahkamah untuk semua kes jenayah, termasuk kes membabitkan petugas difitnah ketika menguatkuasakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bukit Aman sebelum ini mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka mula menerima 7,648 unit kamera badan (BWC) secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025.

Penerimaan itu adalah berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), minggu lalu.

KEPERLUAN

Dalam pada itu, Razarudin berkata, pemakaian kamera badan akan dibuat secara berperingkat mengikut keperluan dan kepentingan agensi ke­selamatan tersebut terutama melibatkan penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebelum diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“Unit-unit ini penting dalam penugasan rondaan pencegahan jenayah dalam kalangan petugas MPV dan URB.

“Ini akan meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama orang awam dan polis kerana setiap perbualan mereka dirakam,” katanya.

Bagaimanapun, Razarudin berharap penggunaan kamera badan akan diperluaskan kepada jabatan-jabatan lain yang dilihat dapat membantu meningkatkan tata kelola yang baik selari dengan cabaran masa kini serta perkembangan teknologi.

“Kita berharap dengan pe­rolehan ini (7,648 unit) sebagai permulaan kepada banyak lagi banyak kamera badan untuk diperluaskan ke jabatan lain,” katanya.

Kelmarin, Razarudin me­ngeluarkan arahan kepada pengurusan tertinggi PDRM termasuk pesuruhjaya polis, ketua polis negeri dan ketua polis daerah supaya bertanggungjawab menyelia orang bawahan supaya meningkatkan keupayaan penyampai­an perkhidmatan kepada masyarakat.

Isu-isu membabit salah laku polis semakin menjadi kecaman orang awam antaranya seperti melibatkan seorang sarjan didakwa merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun di Perak, seorang lans koperal di Ampang, Selangor didakwa merogol pelajar warga asing dan seorang in­spektor didakwa merogol saksi wanita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, Kelantan.

Selasa lalu, tiga anggota polis trafik ditahan reman tiga hari untuk siasatan berhubung perbuatan meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman trafik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN