ISKANDAR PUTERI: Dalam usaha tidak meminggirkan jemaah orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, kerajaan negeri akan menyediakan khidmat jurubahasa isyarat ketika solat Jumaat bagi membolehkan golongan itu memahami inti pati khutbah yang disampaikan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan bermula Ramadan ini.
“Pada peringkat awal ini, kita sudah mengadakan perbincangan dengan persatuan OKU pekak dan bisu bagi mengenal pasti masjid dan kaedah yang sesuai dilaksanakan.
“Sebagai permulaan, kita merancang untuk buat di 10 masjid di setiap daerah, seawal bulan depan kita akan laksanakan inisiatif ini.
“Selain menggunakan khidmat jurubahasa isyarat semasa khutbah, kita turut pertimbangkan kaedah lain, kita akan buat rakaman awal khutbah bahasa isyarat untuk tayangan atau mendapatkan teks khutbah di layar skrin putih dan televisyen pintar,” katanya selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Tadika Agama Johor Ke-13 di Stadium Arena Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Hakim Syarie, Muhammad Khaldun Mohamad Sharif dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed.
Mohd. Fared berkata, bagi menggalakkan lebih ramai OKU memanfaatkan inisiatif tersebut, pihak pengurusan masjid akan menyediakan tempat solat khas bagi mereka di kawasan masjid.
Malah, katanya, kemudahan lain seperti tempat letak kenderaan dan tandas khas untuk OKU turut disediakan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu sediakan keperluan bagi semua golongan masyarakat, tambahan pula ini adalah syarat sah solat Jumaat.
“Kerjasama baik yang diberikan oleh persatuan, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) OKU pekak dan bisu membolehkan iniasiatif dilaksanakan,” katanya sambil memaklumkan kerajaan negeri sentiasa berusaha menambah baik kemudahan yang mesra OKU di masjid-masjid. – UTUSAN










