KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah pembakaran terbuka dalam tempoh musim kemarau tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, antara langkah terbabit termasuklah mendapatkan kerjasama pemilik ladang atau kawasan hutan serta jabatan bertanggungjawab untuk mengambil langkah perlu bagi mengelakkan pembakaran terbuka.
“Dijangkakan, kita akan alami musim kering dan juga dalam masa sama kita akan hadapi masalah berhubung pembakaran terbuka.
“Jadi, isu ini bagi saya, kita perhalusi bersama selaku jabatan yang bertanggungjawab menangani kebakaran, kita tidak dapat lari daripada tanggungjawab tersebut.
“Saya minta semua JBPM negeri mengambil langkah proaktif bagi sama-sama dengan pemilik ladang atau pemilik kawasan hutan, dalam konteks negeri Pahang merujuk kepada Jabatan Perhutanan agar berkolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya ambil langkah perlu bagi mengelakkan berlaku kebakaran besar,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 dan Penyampaian Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Pahang di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 78 pegawai dan anggota JBPM Pahang menerima APC termasuk lima anggota menerima sijil 30 Tahun Perkhidmatan.
Tambah Nor Hisham, tiga daerah utama di negeri ini dikenalpasti sebagai kawasan titik panas pembakaran terbuka iaitu Pekan, Rompin dan Kuantan.
“Kawasan ini merupakan kawasan gambut. Jadi berdasarkan kes dahulu, tanah gambut ini merupakan satu senario kebakaran yang merugikan khusus dari segi aspek perbelanjaan logistik dan sumber manusia. Perkara paling asas adalah jangan kita mulakan kebakaran tak kira apa tujuan pun,” ujarnya.
Tambahnya lagi, beliau memohon agar diberi penekanan serius kepada pemilik ladang atau individu yang ingin membuka tanah gambut khususnya yang melakukan pembukaan secara pembakaran.
“Kita menghadapi masalah membawa pelaku ini ke muka pengadilan sebab selalunya masa dan situasi ketika kejadian itu susah untuk ditentukan. Tapi apabila ia berlaku, ramai yang berdepan kesulitan. Pengguna jalan raya pun susah, masyarakat setempat pun susah, kita pun susah.
“Tapi paling penting, ia memberi imej yang kurang baik kepada keberkesanan pengurusan pemadaman kebakaran kepada pelabur-pelabur asing,” katanya.
Sementara itu Nor Hisham berkata, terdapat 15,724 pili bomba direkodkan mengalami kerosakan serius tahun lalu dan perlu penggantian sepenuhnya segera yang mana ia merupakan tiga peratus daripada keseluruhan 422,472 pili bomba awam dan swasta yang terdapat di negara ini.
“Antara kerosakan yang direkodkan termasuklah pili bomba diturap dengan tar, tanah dan pasir; kebocoran, batu `H’ dan tiang bomba patah serta `spindle valve’ patah, ketat dan tidak berfungsi.
“Kita dah arahkan untuk buat pemeriksaan dan pemantauan terhadap pili bomba yang terdapat di kawasan masing-masing. Jika sebelum ini, ia (pemeriksaan) dilakukan setahun sekali, sekarang kita akan periksa sehingga tiga kali dalam setahun.
“Tempat-tempat yang kita jangka respon kebakaran melebihi 10 minit ini kita tidak boleh gagal dengan ketidakupayaan untuk pili bomba bekalkan air,” katanya. – UTUSAN









