Jalan raya Malaysia hampiri tempoh hayat - Utusan Malaysia

Jalan raya Malaysia hampiri tempoh hayat

Jalan raya di Malaysia banyak hampiri tempoh hayat. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebanyakan jalan raya di Malaysia menghampiri tempoh jangka hayat yang menyebabkan daya tahannya merosot, sekali gus menjadi punca utama strukturnya mudah rosak dan berlubang.

Mengikut rekod data penyelenggaraan jalan Persekutuan di Semenanjung di bawah kendalian Kementerian Kerja Raya (KKR), dianggarkan 3,821 kilometer jalan mencapai jangka hayat reka bentuk.

Datuk Seri Alexander Nanta

Jarak tersebut hampir me­nyamai lima kali perjalanan ulang-alik menggunakan jalan darat dari Johor Bahru ke Perlis.

Ia mewakili 25 peratus daripada keseluruhan 14,918 kilome­ter panjang jalan Persekutuan.
Berdasarkan pemerhatian vi­­sual dan kadar kemerosotan jalan, jangka hayat jalan yang dibaiki adalah sekitar lima hingga tujuh tahun. Bagi jalan baharu, jangka hayat reka bentuk adalah sehingga 20 tahun, bergantung kepada parameter rekaannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mengambil kira situasi itu, terdapat keperluan bagi menaik taraf jalan raya yang menga­lami kemerosotan akibat faktor ‘penuaan’ jalan berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya menerima sebanyak 10,825 aduan melibatkan jalan rosak dan berlubang di bawah seliaan KKR dan agensi di bawahnya dalam tempoh tiga tahun lalu.

Jumlah itu meningkat setiap tahun iaitu melibatkan 2,225 aduan diterima pada 2021 dan bertambah kepada 3,638 aduan (2022), manakala 4,962 aduan tahun lalu.

ISU

“Bagi menangani isu kerosakan jalan raya, sejumlah RM3.9 bilion peruntukan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun itu bagi membaiki dan menyenggara jalan Persekutuan di seluruh Malaysia termasuk pembaikan kerosakan berdasarkan aduan orang awam.

“KKR mengalu-alukan aduan orang awam berkaitan kerosakan khususnya infrastruktur jalan raya sama ada jalan, perabot jalan, lampu jalan, fasiliti awam di lebuh raya atau sebarang aduan berkaitan jalan raya melalui aplikasi MYJalan yang diluncurkan pada 24 Ogos 2023.

“Dalam tempoh itu sehingga 9 Februari lalu, aplikasi itu me­nerima 1,466 aduan berkaitan,” kata beliau baru-baru ini.

Alexander bagaimanapun berkata, daripada jumlah ke­seluruhan aduan itu, hanya 25.82 peratus atau 2,961 aduan membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR dan hampir 95 peratus daripada aduan ini atau 1,627 berjaya diselesaikan dam tempoh selewat-lewatnya 30 hari.

Katanya, jalan berlubang mencatatkan penerimaan tertinggi iaitu sebanyak 43.6 peratus atau 1,291 daripada 2,961 keseluruhan aduan KKR.

Beliau berkata, kebanyakan aduan atau meliputi 8,505 aduan (74.18 peratus) adalah berkaitan jalan di bawah milik agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan lain-lain Jabatan.

LAMBAT

“Kementerian juga memahami situasi di mana tindakan lambat diambil oleh pihak berwajib yang mengendali jalan-jalan negeri dan PBT.

“Perkara ini terjadi kemungkinan disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan dana untuk baik pulih, kekurangan tenaga kerja untuk turun ke kawasan yang dilaporkan disebabkan faktor jarak, lokasi dan sebagainya.

“Menyedari situasi itu, MYJalan diwujudkan untuk menerima semua aduan berkaitan jalan dan infrastrukturnya tanpa mengira siapakah pemilik jalan tersebut dan aduan itu disaring dan dihantar kepada pihak berwajib yang mengendalikan laluan tersebut sekali gus memudahkan pihak kerajaan negeri dan PBT memantau kerosakan di kawasan kendalian masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, Alexander berkata, KKR komited memastikan tindakan menampal lubang jalan di jalan Persekutuan diambil dalam tempoh 24 jam dan sepanjang tahun lepas, sebanyak 5,959 bilangan lubang yang dilaporkan ditampal dalam tempoh 24 jam.

Menurut beliau, sejak tahun lepas, peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 diagihkan kepada 115 jurutera daerah di seluruh negara bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil bagi melaksanakan kerja baik pulih segera melibatkan lubang dan kerosakan jalan yang tidak terlalu serius.

“Pada tahun ini pula, KKR menerima peruntukan khusus bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan sebanyak RM1.907 bilion,” katanya.

BERLUBANG

Dalam pada itu, beliau berkata, antara punca lain kepada berlakunya jalan berlubang ialah disebabkan kenderaan berat yang membawa muatan apabila beban gandar melebihi standard axle yang dibenarkan.

Bagi mengatasi isu ini, terdapat inisiatif libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenakan tindakan kepada kenderaan lebih had muatan yang menyebabkan kerosakan jalan Persekutuan.

Selain itu ialah, kadar penye­rapan air berlebihan ke dalam struktur pavement menjadi punca berlakunya jalan berlubang kerana terdapat batuan yang tercabut daripada permukaaan pavement.

Katanya, kerja korekan utiliti tidak mengikut spesifikasi turut mengundang kerosakan apabila terdapat syarikat yang melaksa­nakan kerja korekan tanpa kebenaran seterusnya boleh membawa kepada pelaksanaan kerja yang tidak mengikut spesifikasi dan prosedur operasi standard (SOP).

“Punca lain kegagalan kawalan kualiti bahan binaan dan kerja tapak. JKR bagaimanapun komited menangani isu berkaitan kualiti bahan binaan dan kerja di tapak terkini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN