PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyifatkan pemuda UMNO berjiwa rapuh dan sensitif selepas menggesa bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua disiasat mengenai komennya terhadap isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Naib presidennya, Shahrizal Denci berkata, siasatan ke atas Tony berkaitan hantaran yang dimuatnaik di Facebook mengenai bekas Perdana Menteri tersebut adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Menurut beliau, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara dan memberikan pandangan seperti mana di dalam Perlembagaan selagi ia tidak menyentuh isu-isu sensitif.
“Dilihat dari komen beliau di media sosial, apakah perasaan hati dan sentuhan jiwa UMNO itu sebahagian dari senarai isu sensitif? Takkan beliau (Tony) langsung tidak boleh mengkritik atau memberikan pandangan mengenai isu ini khususnya dalam konteks kerajaan hari ini?
“Adakah lepas ini kalau ada mana-mana warganegara atau individu yang mengguris perasaan ahli pemuda UMNO, maka mereka dipanggil untuk soal siasat?” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Lembaga Pengampunan memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.
Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara ke atas bekas Presiden UMNO itu dikurangkan dari 12 tahun ke enam tahun dan denda perlu dibayar pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Susulan itu, Tony dilihat memuat naik beberapa hantaran sinis di laman media sosialnya selepas Lembaga Pengampunan membuat pengumuman tersebut.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan bahawa pihaknya akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi memastikan Tony disiasat.
Untuk rekod, Tony yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan mengenainya selepas didakwa beliau mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja berhubung pengampunan ke atas Najib.
Sementara itu, Shahrizal berkata, kerajaan perlu menyemak dan mengemaskini Akta Hasutan dengan menyatakan secara jelas apakah definisi hasutan supaya tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
“Sekiranya kerajaan hari ini berpandangan bahawa mengguris hati Pemuda UMNO yang sensitif itu merupakan sesuatu yang dikatakan menghasut, maka nyatakanlah dengan jelas supaya semua rakyat boleh menilai,” katanya.- UTUSAN










