Empat lelaki didakwa bunuh rakan sekerja - Utusan Malaysia

Empat lelaki didakwa bunuh rakan sekerja

EMPAT lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membunuh seorang rakan sekerja mereka pada 4 Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakan sekerja mereka, awal bulan ini.

Tertuduh, Poh Kien Huat, 28, Mohamad Ashiq Othman, 31, Wong Sew Hau, 48, dan Lim Wee Huang, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan,  kesemua tertuduh didakwa menyebabkan kematian Hah Chun Fai, 24, di sebuah pejabat kelab malam di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini antara pukul 2.30 pagi hingga 11.15 pagi, 4 Februari lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina, manakala semua tertuduh diwakili peguam bela, Chuah Shyue Chien.

Mahkamah menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Kien Huat dituduh dengan niat bersama Loh Kah Cyhe, 29, dan Lau Ngie Fong, 37, mengurung mangsa yang sama di sebuah bilik di premis hiburan di Jalan Sutera Tanjung 8/2, Taman Sutera Utama di sini antara pukul 2 hingga 2.20 pagi, 4 Februari lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan dibacakan 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen, manakala mereka diwakili peguam bela yang sama.

Kah Cyhe dan Ngie Fong masing-masing diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, manakala Kien Huat tidak dibenar diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN