El Nino: Tiada keperluan batal aktiviti luar bilik darjah - Utusan Malaysia

El Nino: Tiada keperluan batal aktiviti luar bilik darjah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada keperluan mendesak untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan pekeliling arahan memakai pakaian sukan pada sesi persekolahan akan datang dan membatalkan aktiviti luar bilik darjah disebabkan fenomena El Nino yang melanda negara.

Hal ini disebabkan KPM telah mengeluarkan kebenaran untuk murid memakai pakaian seragam sekolah untuk dua hari diikuti pakaian sukan selama dua hari dan pakaian kokurikulum sehari bagi sesi persekolahan 2024/2025 mulai Mac ini.

Malah, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, buat masa ini pihaknya tidak melihat ada keperluan untuk membatalkan sebarang aktiviti di luar bilik darjah kerana sesi baharu persekolahan bermula pada bulan Ramadan.

“Pada bulan Ramadan, boleh dikatakan hampir 99 peratus aktiviti dilakukan di dalam bilik darjah termasuk mata pelajaran Pendidikan Jasmani (PJ).

“Jadi sebarang arahan pembatalan aktiviti di luar bilik darjah sepanjang Ramadan tidak perlu dikeluarkan. Bagaimanapun, sekiranya suhu panas memuncak selepas bulan seterusnya, barulah KPM perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang risiko kepada murid dan guru,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, etika pemakaian dikeluarkan KPM untuk dikuatkuasakan mulai Mac depan juga dilihat agak fleksibel namun kelonggaran mungkin boleh diberikan sekiranya fenomena El Nino semakin memuncak.

“Jika bacaan suhu sekitar melebihi 35 darjah Celsius, jadi bolehlah KPM menguatkuasakan etika pemakaian pakaian sukan sepanjang hari persekolahan kepada guru dan murid,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan, El Nino dengan intensiti kuat yang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.

Pakar juga meramalkan bahawa purata suhu sepanjang El Nino adalah 35 darjah Celsius namun di sesetengah kawasan seperti di Perlis, Kedah dan Kelantan suhunya mampu mencapai 40 darjah Celsius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×