SEGAMAT: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan membangunkan sebanyak 400 hektar tanah sebagai kawasan inisiatif pendapatan rakyat (IPR) termasuk dengan tanaman cili fertigasi bagi membantu golongan B40
Wilayah berkenaan merangkumi negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor (Mersing dan Segamat).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, tanaman cili fertigasi yang menggunakan aplikasi teknologi pintar itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Pejabat Daerah, Jabatan Pertanian serta pihak swasta.
“Projek tanaman cili fertigasi di Segamat melibatkan lima ekar (dua hektar) yang merupakan projek rintis. Sejak bermula pada Oktober tahun lalu, tanaman fertigasi ini melibatkan 12 peserta dengan masing-masing kini mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.
“Dengan kejayaan projek rintis ini (di Segamat) kita akan laksanakannya di tempat lain dan telah bermula pada Januari lepas di Bachok, Kelantan serta merancang akan dibuat di Pekan, Pahang pada Mac akan datang. Pada tahun ini sahaja kita merancang untuk membuka kira-kira 100 ekar (40 hektar) bagi projek IPR dan di Johor kita dalam proses untuk mencari kira-kira 30 ekar (11 hektar) lagi,” katanya selepas Program Jom Tuai Cili Pertama Projek Kecil Berimpak Tinggi ECERDC di Grasicili Farm Sdn. Bhd., di Mukim Sermin, dekat sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, tanaman cili sebanyak 20,000 pokok itu mengeluarkan hasil pertamanya hampir 40 tan.
“Menerusi program ini para peserta juga akan mendapat bimbingan dan pendedahan berkaitan teknologi pertanian serta mengembangkan teknologi baharu dalam pertanian bagi mengukuhkan lagi keterjaminan makanan negara.
“Kita juga merancang menambah lagi kawasan tanaman ini di negeri Johor bertujuan menampung keperluan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import cili. Hingga kini kira-kira hanya 30 peratus sahaja keluaran cili tempatan dalam pasaran,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Fazil Sukor, 36, bersyukur terpilih menjadi salah seorang peserta program tersebut.
“Program ini akan berjalan selama lima tahun bagi peserta dengan anggaran tuaian dua kali setahun. Sebelum ini saya ada juga membuat tanaman cili secara kecil-kecilan di pinggir bandar Segamat, malangnya, projek berkenaan terhenti akibat banjir dan saya bersyukur kawasan ini berada di kawasan tanah tinggi yang tidak berisiko dinaiki air,” katanya. – UTUSAN










