KUALA LUMPUR: Dua anggota `Geng Pian’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan melakukan samun dan rompakan berkumpulan terhadap empat individu dan sebuah syarikat farmasi, Disember tahun lalu.
Mohd. Sufian Wahab, 39, dan Mohd. Sahuri Hassim, 39, meminta dibicarakan selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim-Hakim Norina Zainol Abidin, Siti Aminah Ghazali dan Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki berumur 31 tahun dengan menggunakan sebilah pisau di dalam perkarangan mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di di Jalan Kepong di sini pada 8 malam, 27 Disember 2023.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.
Bagi empat lagi pertuduhan, dua rakan itu turut didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau terhadap tiga lelaki lain melibatkan wang tunai berjumlah RM5,180 dan sebentuk cincin emas serta wang tunai tunai RM3,650 milik syarikat farmasi.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan mesin deposit tunai (CDM) dan mesin ATM di empat buah bank di Rampai Business Park, Jalan Ampang, Jalan Pudu dan Jalan Kepong di sini di antara 5.30 petang, 16 Disember 2023 dan 9.40 malam, 27 Disember 2023.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn, Nidzuwan Abd. Latif dan Illya Syaheedah Mohd. Razif masing-masing mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Kelvinder Singh Deo yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah kerana mereka menanggung keluarga.
Ketiga-tiga mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan.










