PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh tidak mahu dirinya dipergunakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyahut cabaran berdebat dengannya berkaitan kes penyelewengan dana SRC International.
Bekas timbalan menteri undang-undang itu berkata, tidak ada guna untuk beliau berdebat dengan Najib kerana keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan memutuskan bekas Perdana Menteri itu bersalah.
Malah, menurut beliau, Lembaga Pengampunan turut mengekalkan sabitan kesalahan itu.
“Oleh itu, sebarang perdebatan, sama ada dengan saya atau sesiapa sahaja, tidak akan mengubah fakta bahawa Najib kekal sebagai banduan dan sabitan kesalahannya adalah selamat.
“Oleh demikian, adalah bijak bagi Najib untuk berhenti mengeluarkan cabaran yang tidak masuk akal untuk berdebat dengan orang lain, yang hasilnya, tidak akan ada beza dengan nasibnya,” kata Ramkarpal dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, cabaran perdebatan itu disifatkan sebagai tindakan meraih publisiti murahan dalam memastikan bekas Perdana Menteri tersebut kekal relevan.
Oleh itu, katanya, beliau tidak akan sesekali membenarkan dirinya dipergunakan sebagai ruang untuk meraih publisiti murahan seperti yang diharapkan Najib.
“Adalah jelas bahawa Najib ingin menggunakan saya untuk kekal relevan dengan mencabar saya untuk debat ini.
“Saya tidak akan membenarkan diri saya digunakan untuk sandiwara publisiti murah beliau,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, pengendali akaun Facebook Najib memuat naik kenyataan yang mencabar Ramkarpal berdebat dengan bekas Presiden UMNO itu bagi menilai sama ada beliau layak atau tidak dikurniakan pengampunan diraja.- UTUSAN










