Caruman Perkeso pelindungan penting buat penggiat industri gig - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Caruman Perkeso pelindungan penting buat penggiat industri gig – Mohd. Sharkar

CADANGAN penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) diperjuangkan UMNO bagi menambah baik perlindungan sosial dan kebajikan 1.12 juta penggiat industri gig di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sekretariat Forum Gig Ekonomi Malaysia (NGO) menyambut baik usaha kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan untuk menanggung caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) buat penggiat industri gig seperti penyedia platform e-hailing dan p-hailing.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Shar­kar Shamsudin berkata, ia pen­ting bagi menjaga kebajikan dan memberi perlindungan buat seluruh rantaian penggiat industri tersebut.

“Perkara ini sudah lama kita perjuangan menerusi cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) atau badan kawal selia bagi menambah baik perlindungan sosial dan kebajikan 1.12 juta penggiat industri gig di seluruh negara.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan perlindungan keselamatan sosial buat penggiat e-hailing dan p-hailing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, seramai 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah dijangka menikmati caruman Perkeso yang ditanggung sepenuhnya kerajaan, mulai bulan depan.

Loke dilaporkan berkata, 90 peratus caruman itu akan dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kewangan manakala baki 10 peratus dibayar oleh Kementerian Pengangkutan untuk tempoh setahun.

Jelas Menteri Pengangkutan itu, difahamkan Kementerian Kewangan ada memberikan dana RM 100 juta kepada Perkeso untuk mencarum sehingga 90 peratus bagi pemandu teksi, e-hailing dan p-hailing.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, SEGiM perlu segera diwujudkan bagi menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi industri GiG dan menyelesaikan pelbagai isu berbangkit dihadapi pekerja terbabit.

“Idea penubuhan SEGiM dijangka dapat memberi faedah kepada pekerja ekonomi gig setelah kebajikan dan nasib mereka tidak terbela sejak kebelakangan ini. Idea ini dibangkitkan pada Perhimpunan Agong UMNO sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, jika ada pihak yang mengawal selia perkhidmatan e-hailing dan p-hailing, beliau yakin isu-isu yang timbul dalam industri gig akan dapat diselesaikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN