KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyifatkan siasatan terhadapnya berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuang masa.
Beliau ketika ditemui berkata, lima hantaran yang dibuatnya dalam laman sosial Facebook pada Sabtu lalu dilihat tidak mengandungi sebarang unsur hasutan.
“Saya telah hadir memberi keterangan di Bukit Aman bagi siasatan lanjut di bawah Akta Hasutan berkaitan lima hantaran saya di laman sosial Facebook peribadi saya berkait keputusan Lembaga Pengampunan.
“Pada saya, tidak tahu macam mana sebarang hantaran yang dibuat itu mengandungi unsur hasutan di bawah akta tersebut kerana saya lihat ia tiada unsur hasutan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media sebaik selesai memberi keterangan di Bukit Aman pada pukul 2.30 petang.
Dalam pada itu, Tony berharap pihak polis akan membuat siasatan penuh dengan cepat bagi menolak segala tuduhan yang dibuat oleh pihak di luar sana.
Beliau berkata, siasatan terhadapnya dilakukan selepas satu laporan dibuat oleh UMNO di Johor.
“Saya tidak pasti individu mana yang buat laporan berkenaan tetapi saya rasa membuang masa pihak polis untuk siasat bukan buang masa saya sebab saya sudah bersara,” jelasnya.
Tony berkata, beliau memberi kerjasama penuh sepanjang proses memberi keterangan itu.
Kata beliau, sebanyak 60 soalan dikemukakan pihak polis kepadanya sepanjang sesi berkenaan berlangsung.
“Antara soalan yang ditanya adakah saya menulis dan membuat hantaran tersebut. Pihak polis minta saya menyerahkan komputer peribadi milik yang digunakan saya semasa membuat lima hantaran itu,” katanya.
Sementara itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengesahkan telah mengambil keterangan Tony hari ini.- UTUSAN










