Bicara kes saman ditangguh, Dr. Mahathir masuk IJN - Utusan Malaysia

Bicara kes saman ditangguh, Dr. Mahathir masuk IJN

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes saman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu `kutty’ ekoran bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak bulan lalu.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong menangguhkan prosiding saman fitnah yang sepatutnya bermula hari ini dan menetapkan perbicaraan pada 19 Julai.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr. Mahathir, 99, ketika ditemui media selepas prosiding itu berkata, beliau diberi cuti sakit oleh IJN bermula 26 Januari lalu hingga 18 Februari.

Menurut peguam itu, sebelum ini IJN telah menghantar surat kepada mahkamah bahawa anak guamnya kurang sihat untuk menghadiri perbicaraan.

“Kami memohon perbicaraan hari ini ditangguhkan dan berharap tarikh awal kerana usia anak guam kami yang sudah lanjut. Mohon agar perbicaraan pada 13 hingga 16 Februari ini ditangguhkan,” kata peguam itu.

Tambahnya, mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bermula 19 Julai, 26 dan 27 Ogos serta 29 dan 30 Oktober.

Sementara itu ketika ditanya saksi plaintif yang akan dikemukakan pada perbicaraan kelak, Mior Nor Haidir berkata pihak plaintif mengemukakan dua saksi iaitu Dr. Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kelak.

Dalam pada itu, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Ahmad Zahid, 71, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak guamnya dan seorang lagi saksi akan disapina untuk memberi keterangan.

Dr. Mahathir menyaman Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan Ahmad Zahid memfitnahnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Ujar Dr. Mahathir, beliau difitnah menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Plaintif mendakwa, Ahmad Zahid mempersoal asal usulnya dan rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah diterbitkan semula menerusi Youtube Astro AWANI berdurasi dua minit 41 saat.

Menurut Dr. Mahathir, beliau percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah itu sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Beliau berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah, mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat. Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Katanya, kenyataan itu merendahkan, mencederakan dan mencemarkan reputasi, nama baik, maruah, integriti serta imej baiknya selain bertujun melemahkan pengaruh politiknya secara berterusan sehingga mengalami kerugian besar dan teruk.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi Dr. Mahathir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN