KUANTAN: Seorang bekas pengurus di Felda Lepar Utara 1 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah lebih RM54,000 pada 2020.
Tertuduh, Shahril Shahadan, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Shahril didakwa menyalahgunakan harta iaitu 13 keping cek bernilai RM1,400 hingga RM5,000 yang keseluruhan berjumlah RM54,742.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah bank cawangan bandar pusat Jengka, dari 23 Januari 2020 hingga 29 September 2020.
Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan, sebatan dan denda, jika bersalah.
Tertuduh juga tidak mengaku salah atas 13 pertuduhan pilihan melakukan pecah amanah jenayah iaitu secara tidak jujur melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Bagi kesemua pertuduhan pilihan itu, jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif kemudian menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Rifah Izzati turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM, selain, menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang diwakili peguam, Siti Azizah Mulian dan Roshidah Osman merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan menanggung empat anak yang masih bersekolah, ibu dan bapa yang sudah berusia dan sakit serta ibu dan bapa mertua.
Hakim memutuskan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 5 April depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen. – UTUSAN










