KUALA NERUS: Bau busuk yang mengganggu penduduk sejak beberapa hari lalu terbongkar apabila mayat seorang lelaki ditemukan di dalam sebuah rumah di Taman Permint Perdana, Seberang Takir, di sini.
Mayat Abdul Rahim Singh Abdullah, 51, ditemukan penduduk selepas melakukan pemeriksaan di rumah mangsa pada pukul 7.10 malam.
Seorang penduduk, Norshuhada Hashim, 40, mendakwa, dia bersama suami dan dua anaknya menghidu bau kurang menyenangkan sehingga mereka terpaksa bermalam di rumah ibunya.
Menurutnya, dia menyangkakan bau itu berpunca daripada bangkai binatang, namun gagal menemui sebarang petunjuk meskipun sudah mencari di merata tempat di kawasan kediamannya.
Katanya, bau kurang menyenangkan itu semakin kuat menyebabkan dia mengajak beberapa jiran untuk memeriksa rumah didiami mangsa yang membawa kepada penemuan mayatnya, petang semalam. – UTUSAN










