KUALA LUMPUR : Semua pesuruhjaya polis dan ketua polis negeri serta daerah diingatkan agar memperkasakan Peraturan 3C, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertanggungjawab menyelia pegawai dan anggota polis dari semua sudut.
Beliau berkata, polis yang terbabit amalan rasuah tidak sepatutnya berada dalam perkhidmatan PDRM.
“Satu dua kes (salah laku polis) yang berlaku telah menyusahkan masyarakat memberi imej buruk polis jika ada anggota polis terbabit salah laku.
“Masyarakat melihat perilaku polis dengan telefon bimbit, malah kamera papan pemuka kereta di depan dan belakang jika polis ada terbabit salah laku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Ketua Polis Negara pada perjumpaan khas bersama kepimpinan PDRM dan Ketua Polis Daerah Semenanjung Malaysia di Maktab PDRM Cheras, di sini, malam tadi.
Razarudin menegaskan ketua polis daerah melaporkan kepada ketua polis negeri dengan segera sekiranya berlaku masalah disiplin atau salah laku dalam kalangan anggota.
“Saya juga meminta ketua polis negeri segera lapor kepada saya (salah laku pegawai dan anggota polis),” jelasnya. – UTUSAN










