GEORGE TOWN: Seorang pembantu pejabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas tiga tuduhan, iaitu mendatangkan cedera, memukul serta mengugut ibunya yang juga seorang warga emas, minggu lepas.
Tertuduh, Poh Lee Aik, 45, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul ibunya yang berusia 69 tahun menggunakan rotan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Khalid Ab. Karim di Mahkamah Sesyen.
Di Mahkamah Majistret pula, Lee Aik turut tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Bahrain atas dua pertuduhan, iaitu mengugut ibunya menggunakan api serta memukul warga emas itu dengan tangan.
Ketika prosiding dijalankan, Lee Aik yang tidak fasih berbahasa Melayu meminta pertuduhan terhadapnya dibacakan menggunakan bahasa Hokkien.
Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, Lee Aik didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap ibunya dengan cara memukul menggunakan rotan di kepala dan badan berulang kali.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Lembah Hijau, Lorong Gangsa di George Town pada 13 Februari lalu, kira-kira pukul 7 petang.
Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berhadapan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.
Pendakwaan di Mahkamah Sesyen itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Puteri Nor Nadia meminta mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan tertuduh juga tinggal dengan mangsa.
Hakim Mohamad Khalid kemudian menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa dengan sengaja menakutkan secara jenayah terhadap ibunya dengan ugutan hendak menyebabkan kematian dengan cara kebinasaan apa-apa harta dengan api pada masa, lokasi dan tarikh sama.
Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Selain itu, di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap ibunya dengan cara memukul menggunakan tangan di bahagian kepala dan tangan.
Bagi perbuatan itu, Lee Aik didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan wang jaminan berjumlah RM20,000 bagi dua pertuduhan itu dengan syarat tertuduh tidak mengganggu ibu kandungnya dan tidak tinggal serumah dengan mangsa.
Tertuduh kemudian meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan dia hanya mempunyai pendapatan berjumlah RM2,000 sebulan.
Majistret Siti Nurul Suhaila kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan sekiranya tertuduh mengganggu mangsa, wang jaminan akan dibatalkan.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Jenayah, tertuduh berdepan satu lagi tuduhan membabitkan kesalahan dadah iaitu memasukkan dadah jenis methamphetamine, namun dia tidak mengaku bersalah. – UTUSAN










