Aidilfitri: Harga maksimum tiket ke Sabah, Sarawak, Labuan RM599 - Utusan Malaysia

Aidilfitri: Harga maksimum tiket ke Sabah, Sarawak, Labuan RM599

Anthony Loke ketika menyempurnakan Majlis Upacara Perasmian Pecah Tanah Bangunan Baharu Bertingkat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chun Yin, hari ini.- UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU:  Kerajaan meneruskan pelaksanaan  harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi RM599 sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi tempoh tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penetapan harga tiket penerbangan itu tidak dilakukan di Semenanjung kerana rakyat di sini mempunyai banyak pilihan pengangkutan.

“Dalam Semenanjung kita tak ada harga maksimum sebab ada banyak pilihan pengangkutan. Oleh kerana ke Sabah dan Sarawak tak ada pilihan, maka kerajaan menetapkan dasar harga maksimum RM599.

“Kalau beli awal mungkin dapat harga lebih murah tetapi kalau kekurangan tiket, tiket tak banyak, harga akan melambung naik. Sebarang kenaikan lebih RM599 akan ditampung oleh subsidi kerajaan untuk tiga hari tersebut,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Upacara Perasmian Pecah Tanah Bangunan Baharu Bertingkat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chun Yin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Anthony yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata, sempena Hari Raya Aidilfitri tanah, terdapat syarikat penerbangan yang akan menambah penerbangan tambahan, selain menawarkan harga tetap untuk penerbangan tertentu pada waktu malam.

“Umpamanya AirAsia, mereka ada inisiatif pada harga tetap yang murah tetapi penerbangannya pada waktu malam. Hanya beberapa penerbangan khas setiap hari dan itu akan dilancarkan awal bulan Mac,” kata beliau 

Dalam pada itu, Anthony berkata, pihaknya menjangkakan waktu puncak Hari Raya Aidilfitri kali ini pada hujung minggu sebelum hari raya pada April ini.

Ditanya mengenai terdapat individu yang menyewa helikopter untuk pulang ke kampung  pada musim perayaan, Anthony berkata, perkara itu belum menjadi norma masyarakat namun sebarang bentuk penerbangan mesti mendapat kebenaran pihak berkuasa termasuk lokasi helikopter mendarat.

Bagaimanapun, menurut beliau, sewaan khidmat yang mencecah harga tinggi itu adalah terpulang kepada mana-mana individu yang berkemampuan dan haruslah melalui syarikat penerbangan yang sah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×