JOHOR BAHRU: Seramai 15 individu ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia 24 tahun di Route 66, Jalan Abdullah Tahir, Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua suspek yang ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Katanya, antara suspek itu ialah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) sejurus tiba dari Bangkok, Thailand, kelmarin.
“Polis Kontinjen Johor menerima maklumat berkaitan kes bunuh membabitkan seorang lelaki tempatan pada pukul 4.54 petang, Ahad lalu di Jalan Abdullah Tahir.
“Susulan itu, polis telah membuat sebanyak 15 tangkapan di beberapa kawasan di daerah ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Kumar berkata, lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi sebaik sahaja tiba di negara ini dari Bangkok.
Mengulas lanjut, Kumar memberitahu, kesemua individu itu ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari hingga Isnin depan dan pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar kes yang berlaku di sebuah kelab malam itu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Asisten Superintenden Muhammad Afdhal Mat Saupi di talian 013- 7711152. – UTUSAN











