JOHOR BAHRU: Selepas 13 tahun tinggal lebih masa di negara ini, seorang lelaki warga Singapura akhirnya ditahan pihak Jabatan Imigresen negeri ini dalam Op Bersama di dua lokasi di daerah ini, kelmarin.
Pengarah Imigresen negeri, Baharuddin Tahir berkata, perbuatan lelaki itu terbongkar selepas pihaknya menerima aduan awam berkaitan kegiatan menceroboh dan membina struktur kedai di atas rizab awam.
Lelaki berkenaan antara lima individu yang ditahan menerusi dalam Op Bersama pada pukul 9.30 pagi.
“Tindakan diambil susulan aduan awam berkaitan kegiatan menceroboh dan membina struktur kedai di atas rizab awam tanpa kebenaran dan kewujudan warga asing di Jalan Wadihana, di sini.
“Hasil pemeriksaan operasi itu mendapati seorang lelaki warga Singapura berusia 34 tahun tinggal lebih masa sejak 2011, iaitu sejak berusia 21 tahun. Turut ditahan di lokasi sama seorang lelaki warga Bangladesh kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri ini bersama-sama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Baharuddin berkata, dalam operasi berasingan di Pasir Gudang, pihaknya menahan dua lelaki Indonesia dan seorang lelaki Pakistan kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.
Semua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.
“Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Satu notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu dalam operasi itu bagi membantu siasatan,” katanya sambil memberitahu semua tahanan ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut. – UTUSAN











