SEREMBAN: Bagi menyokong pelbagai projek pembangunan dan pembinaan di Negeri Sembilan, pihak Cement Industries Malaysia Berhad (CIMA) menerusi anak syarikat milik penuhnya iaitu Unipati Concrete Sdn. Bhd. (UPC) telah melancarkan kilang bancuh konkrit kelimanya yang terletak di Sendayan di sini.
Kilang yang telah mula beroperasi sejak bulan Ogos tahun lalu sekali gus meningkatkan pengeluaran konkrit tahunan UPC kepada 933,000 meter kubik (m³).
Pengerusi CIMA, Datuk Zaiviji Ismail berkata, kilang bancuh konkrit terbaharu ini merupakan manifestasi komitmen pihaknya untuk meluaskan operasi perniagaannya di Negeri Sembilan yang telah pun bermula pada tahun 1994.
Jelasnya, sepanjang tiga dekad lalu, CIMA telah melabur hampir RM2 bilion bagi membangunkan operasi bersepadu di negeri ini yang merangkumi perolehan bahan mentah sehinggalah pengeluaran produk konkrit dan simen serta penyelesaian yang dirangka khusus bagi projek tertentu.
“Kilang simen CIMA di Bahau telah mencipta 600 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung di negeri ini. Dengan pelancaran kilang bancuh konkrit baharu ini, ia bukan sahaja sebahagian daripada pembesaran operasi UPC tetapi merupakan tekad CIMA untuk terus menerajui industri pembinaan Malaysia yang kian berkembang.
“UPC merupakan salah satu penyumbang pendapatan CIMA dan kami akan komited untuk terus mempelopori pengeluaran penyelesaian konkrit siap bancuh inovatif dan lebih hijau yang selari dengan inisiatif pembangunan lestari syarikat.
“Kami bersedia untuk meluaskan kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi-agensinya bagi menerapkan amalan kelestarian yang lebih meluas di Negeri Sembilan sekaligus menyumbang ke arah mengurangkan kadar pelepasan karbon negara,” katanya pada majlis pelancaran kilang tersebut di Sendayan di sini semalam.
Ia telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu, Aminuddin berkata, pelancaran kilang berkenaan merupakan isyarat cukup jelas berhubung komitmen berterusan UPC kepada Negeri Sembilan.
“Ia mencerminkan kesediaan mereka untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam memenuhi permintaan konkrit di Malaysia sekali gus membantu pertumbuhan sektor pembuatan dan pembinaan yang merupakan antara nadi pertumbuhan ekonomi negara.
“Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengalu-alukan pelaburan sama ada daripada pelabur luar dan tempatan yang boleh membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dalam negeri ini di samping menyumbang untuk merancakkan lagi
pertumbuhan ekonomi.
“Bagi CIMA dan UPC secara khususnya, saya yakin tawaran produk serta penyelesaian simen serta konkrit mereka yang inovatif, hijau dan lebih mesra alam sekitar boleh memainkan peranan dalam memacu agenda pembangunan mampan di negeri ini, selari dengan visi yang digariskan menerusi inisiatif seperti Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0,” katanya.-UTUSAN.