KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan parti itu, Datuk Razali Idris secara peribadi berkata, ini kerana bekas pemimpin itu sudah pun menjalani hukuman yang setimpal berikutan kesalahan yang dilakukan sebelum ini.
Bagaimanapun setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang cadangan dari mana-mana pihak menyatakan cadangan untuk bekerjasama dengan Najib jika beliau sudah bebas menjalani hukuman penjara.
MELAYU
“Saya tidak nampak ada salahnya kerjasama dengan sesiapa sahaja, dengan Tun Mahathir pun kita kerjasama, asasnya adalah perjuangan untuk orang Melayu, baik dengan badan bukan kerajaan (NGO), mana-mana parti bukan Islam tetapi memperjuangkan untuk bukan Melayu yang tidak ekstrim, walaupun dengan Najib, kita juga tiada masalah.
“Dan saya percaya jika ada cadangan itu, kita akan bincang untuk ke peringkat seterusnya bagi memastikan Melayu di tahap yang sepatutnya tanpa sebarang ganggu gugat daripada pihak lain,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas jika terdapat cadangan kerjasama antara Bersatu dengan mana-mana pihak termasuklah Najib yang merupakan bekas pemimpin tertinggi negara sewaktu zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Bersatu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau yakin perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat kerana melibatkan pemimpin yang mempunyai kes berprofil tinggi.
PERTIMBANGAN
“Saya yakin jika isu kerjasama dengan mana-mana pihak timbul untuk perbincangan, maka Tan Sri Muhyiddin akan membawanya untuk pertimbangan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Apatah lagi jika ia seseorang yang high profile seperti Najib, sudah pasti ia perlu dibawa ke MPT dahulu,” ujarnya.
Jelas Wan Saiful lagi, dalam hal ini, Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin tegas dalam mengambil kira soal kerjasama dengan mana-mana pihak.
“Ketegasan itu membuatkan Bersatu berani mengambil sikap berprinsip yang tegas dalam dua situasi genting sebelum ini. Pertama ialah apabila Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada 2020. Kedua ialah dalam memilih sokongan siapa yang boleh kita terima selepas PRU15.
“Istiqamah kepada prinsip perjuangan inilah yang membuatkan Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu dipercayai oleh rakyat,” katanya lagi. – UTUSAN










