KOTA KINABALU: Mengambil kira situasi politik semasa, bekas Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Johair Matlani percaya tiada tempat untuk UMNO di Beaufort menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.
Beliau berkata, salah satu sebab mendorongnya keluar dari KDM adalah disebabkan keputusan parti itu untuk bersama-sama dengan UMNO dan Parti Warisan (Warisan) ingin membentuk kerjasama pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Menurutnya, sebagai orang ketiga dalam parti, suaranya hanya dua peratus, jadi apa juga pandangan yang disuarakan tidak didengar.
“Secara jujur, saya memang terkilan dengan keputusan pimpinan parti yang ingin bersama-sama dengan UMNO dan Warisan. Pada masa ini, penyokong akar umbi terutama dalam parti besar seperti UMNO tidak selesa dengan keputusan pimpinan yang ingin membentuk kerjasama berkenaan. Malah, saya dan akar umbi KDM juga rasa tidak selesa.
“Saya pernah menganggotai kedua-dua parti berkenaan dan pada saya terutama di kawasan Beaufort, tidak keterlaluan untuk saya katakan kedua-dua parti itu tidak relevan lagi di sana,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, keputusannya keluar parti bersama-sama dengan hampir keseluruhan ahli jawatankuasa bahagian menyebabkan KDM Beaufort lumpuh.
Berkongsi mengenai hala tuju politiknya selepas ini, jelasnya, beliau akan membantu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Klias dalam menghadapi PRN .
Memandangkan pernah bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen, beliau akan sama-sama bekerja bagi memenangkan Gagasan Rakyat.
Katanya, jika dilihat di kawasan Beaufort, terlalu banyak parti malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun mula timbul semula, namun belum cukup menonjol.
Jelas beliau, pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai potensi untuk terus memimpin di negeri ini, biarpun Datuk Seri Hajiji Noor tidak banyak bercakap, namun sangat konsisten dalam bekerja.
Maka beliau yakin Gagasan Rakyat boleh bertahan lama dan mampu mencipta memberi kejayaan pada pilihan raya akan datang. – UTUSAN