Sultan Ibrahim pemurah, prihatin

Sultan Ibrahim pemurah, prihatin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH sedekad menaungi ne­ge­ri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melakar sejarah ter­sendiri dalam membawa Johor menjadi sebuah negeri yang semakin maju.

Malah, kini Johor Bahru sudah mempunyai tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) berstatus bandar raya iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Dimasyhurkan sebagai Sultan Johor Kelima pada 23 Januari 2010 susulan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Islmail, Sultan Ibrahim bukan sahaja terkenal sebagai sultan yang mampu mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor, malah amat prihatin tentang kebajikan rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Bagi membantu rakyat jelata, khususnya golongan memerlukan serta yang ditimpa musibah, Sultan Ibrahim mencetuskan idea dengan menubuhkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Bukan itu sahaja, Permaisuri Johor turut menubuhkan Yayasan Raja Zarith Sofiah Nege­ri Johor (YRZSNJ). Bagi membantu pesakit kanser, turut ditubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Jalil (YKTLJ).

Malah, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Co­vid-19, yayasan yang ditubuhkan Kerabat Diraja Johor tersebut giat membantu ramai rakyat Johor yang memerlukan.

Bukan itu sahaja, yang terbaru YSIJ menyumbangkan 10,000 kampit beras kepada Bangsa Johor yang memerlukan di semua 10 daerah di negeri ini susulan keluhan rakyat ekoran peningkatan harga makanan ruji itu.

Semasa dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor, Sultan Ibrahim telah berusaha bukan sahaja untuk mendekati rakyat, malah membantu mereka menerusi program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilhamkan baginda.

Program yang dimulakan pada tahun 2001 kini menjadi satu daripada ‘ikon’ bagi negeri Johor dan sentiasa dinanti-nantikan pada setiap tahun kerana Sultan Ibrahim bukan sahaja menjelajah ke seluruh negeri, malah membawa bersama-sama ahli keluarga baginda untuk mendampingi rakyat jelata.

Nyata naluri baginda sentiasa dekat dan amat memahami kehendak rakyat jelata.

Malah, KMJ diakui dapat merapatkan dan mengeratkan lagi hubungan rakyat jelata, sekali gus memperkukuhkan institusi Raja Berperlembagaan dan meningkatkan permuafakatan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Semasa menjelajah ke seluruh negeri, Sultan Ibrahim bukan sahaja sanggup berpanas dan berhujan sambil menunggang motosikal, malah turut merentasi sungai dan laut semata-mata ingin berjumpa dengan rakyat termasuk yang tinggal di pulau-pulau serta memandu kenderaan pacuan empat roda untuk berjumpa rakyat di kawasan pedalaman termasuk masyarakat Orang Asli.

Sikap prihatin baginda turun padang bagi meninjau kehidupan dan menyelami susah senang rakyat membina kredibilitI baginda sebagai pewaris takhta yang mesra dan amat prihatin dengan kebajikan rakyat.

Dalam bidang sukan, baginda gemar bermain polo dan menunggang motosikal berkuasa tinggi serta turut memiliki lesen memandu kereta api.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Sultan Ibrahim merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar dan dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor pada 3 Julai 1985.

Baginda juga pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Hasil perkongsian hidup dengan Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, pasangan diraja berkenaan dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri, iaitu

Tunku Ismail (Tunku Mahkota Johor), Tunku Aminah, Tunku Idris Iskandar (Tunku Temenggong Johor), Almarhum Tunku Abdul Jalil (Tunku Laksamana Johor), Tunku Abdul Rahman (Tunku Panglima Johor) dan Tunku Abu Bakar (Tunku Putera).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN