Sultan Ibrahim mampu pacu kecemerlangan, kestabilan negara - Utusan Malaysia

Sultan Ibrahim mampu pacu kecemerlangan, kestabilan negara

SULTAN IBRAHIM bersalaman dengan pemimpin pelbagai kaum sebelum berangkat ke Istana Negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI:  Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mampu memacu kecemerlangan dan kestabilan negara serta meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat berbilang kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon yakin Sultan Ibrahim akan membawa era baharu dalam kestabilan negara.

“Tuanku pasti akan membawa hala tuju baharu terhadap ekonomi negara, perpaduan antara rakyat, hubungan diplomatik antarabangsa serta kestabilan politik tanah air. Selaku pemimpin negeri Johor, saya juga berharap baginda akan terus memakmurkan pembangunan infrastruktur di Malaysia dan negeri ini,” katanya yang juga Ketua Pemuda MCA.

Perkara sama turut disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar yang menyifatkan Sultan Ibrahim sebagai raja yang sentiasa meletakkan rakyat berbilang kaum di hatinya.

“Perkara ini terbukti apabila baginda sama-sama hadir meraikan sambutan perayaan masyarakat, termasuk Thaipusam dan pesta Chingay yang diadakan besar-besaran di negeri Johor sebelum ini.

“Saya pasti 33 juta rakyat Malaysia berasa gembira dan berbesar hati dengan pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu,” katanya yang juga Ketua Pemuda MIC.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi berkata, Sultan Ibrahim amat prihatin dengan keperluan hidup rakyat, khususnya di Johor.

“Berdasarkan pengalaman saya, baginda amat prihatin dengan rakyat dan program-program yang dianjurkan untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat, termasuk dengan penubuhan yayasan-yayasan bagi menyantuni masyarakat Melayu, Cina dan India.

“Saya yakin keprihatinan itu pasti akan diteruskan apabila baginda melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua negara bermula hari ini. Itu memang sikap baginda, prihatin kepada rakyat tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.

Abdul Latif yang juga Naib Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor yakin rakyat Malaysia akan menerima manfaat atas pertabalan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong yang baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya