Sultan Ibrahim berjiwa rakyat

Sultan Ibrahim berjiwa rakyat

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Abdul Ghani Othman menunjukkan tanda bagus sambil menunggang motosikal di majlis pelepasan Pelancaran Kembara Mahkota Johor 2008 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru. Gambar: RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 merupakan sultan yang sentiasa prihatin dengan denyut nadi rakyat.

Putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah itu amat lantang dan tegas dalam menyuarakan isu-isu untuk kepentingan rakyat.

Malah, Sultan Johor juga memberi jaminan 33 juta rakyat akan menjadi keutamaan selepas dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong nanti.

Berusia 65 tahun, baginda sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat dan amat memahami beban dihadapi golongan memerlukan yang berdepan dengan kekurangan.

Malah, baginda juga tidak ‘kekok’ untuk menghulurkan sumbangan peribadi demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat.

Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM5 juta bagi membeli peralatan keperluan hospital di Johor.

Ia susulan jangkitan Covid-19 serta bilangan jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan ketika itu meningkat.

Malah, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbang pelbagai peralatan perubatan bernilai lebih RM28 juta dalam usaha berterusan mencegah penularan wabak Covid-19.

Bagi meringankan beban rakyat terutamanya yang terkesan pandemik, Sultan Johor juga bertitah agar lebihan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bernilai RM1.4 juta bagi tahun 2019 yang diserahkan kepada baginda bagi pembayaran cukai di atas syarikat-syarikat milik Keluarga Diraja Johor, dikurniakan kepada YSIJ.

Sedih dengan keluhan rakyat mengenai kenaikan harga beras, Sultan Ibrahim juga berkenan mengurniakan 10,000 paket beras kepada golongan memerlukan di 10 daerah Johor termasuk penerima dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, Sultan Ibrahim juga merupakan antara individu terawal yang turun padang menyumbang makanan serta barang keperluan sekiranya negeri Johor dilanda bencana terutamanya banjir.

Paling mencuri tumpuan, baginda turut berkenan memasak sajian nasi goreng ketika meluangkan mangsa bersama mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat pada Januari 2016.

Pada September 2022, Sultan Ibrahim juga berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri-negeri seluruh Malaysia untuk digunakan semasa bencana alam bagi menempatkan mangsa-mangsa di PPS.

Baru-baru ini, baginda turut menggerakkan tiga aset miliknya iaitu air boat berkuasa tinggi bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa-mangsa banjir yang melanda beberapa daerah di negeri itu.

Sultan Johor juga sentiasa lantang dalam menegur isu-isu kebersihan sama ada membabitkan sungai mahupun perumahan masyarakat.

Antaranya, pada November 2021, Sultan Ibrahim berkenan membuat tinjauan hampir sejam dengan mengemudi sendiri airboat miliknya di sepanjang Sungai Danga.

Baginda yang kesal dengan sungai yang dicemari sampah sarap itu menitahkan Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar untuk segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah berkenaan.

Sultan Ibrahim juga pernah menzahirkan kekecewaan terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di Johor yang berada dalam keadaan daif, serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

Justeru, baginda bertitah agar kerajaan pusat dapat memberikan bantuan baik pulih flat kos rendah yang lama itu selain menyeru penduduk untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN