‘Saya yakin mayat Norhisyam tersangkut kayu’ - Utusan Malaysia

‘Saya yakin mayat Norhisyam tersangkut kayu’

Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, Kota Bharu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli keluarga kepada peniaga kosmetik yang terjatuh di Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini minggu lalu yakin jasad mangsa masih ada dan berkemungkinan tersangkut pada kayu-kayan di dasar sungai itu.

Abang mangsa, Sukardi Ismail, 47, berkata, dia sangat yakin mayat adiknya, Norhisyam, 43, ada di sekitar Jambatan Tendong meskipun kehilangannya sudah masuk hari ke-10 semalam.

Menurutnya, dia mendapat maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bahawa kawasan Su­ngai Kelantan ketika ini banyak ranting pokok dan kayu balak hanyut selepas banjir.

“Mungkin mayat adik saya tersangkut pada kayu-kayan di dasar Sungai Kelantan. Se­perti yang kita tahu, jika ada orang lemas di kawasan itu, mayatnya akan timbul selepas tiga atau empat hari kemudian.

“Saya yakin Norhisyam masih ada di situ, tetapi saya serah kepada Allah SWT dan memohon agar mayatnya akan jumpa dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sukardi berkata, dia juga sempat berpesan kepada kumpulan pemancing dan penduduk kampung untuk membantu dalam usaha pencarian adiknya sebelum bertolak pulang ke Kedah semalam.

Menurutnya, sebelum ini, keluarganya bersama penduduk mengadakan solat hajat di bawah Jambatan Tendong memohon agar Norhisyam ditemukan pada hari ketujuh kehilangannya.

“Kami sekeluarga sa­ngat berharap supaya mayat Norhi­syam ditemukan meskipun pihak bomba sudah menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam (kelmarin).

“Setakat ini, adik ipar yang merupakan isteri kepada Norhisyam dan anak-anaknya masih belum dapat menerima kejadian itu,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang peniaga produk kosmetik sempat menghubungi bapa mentuanya agar datang mengambil kereta Mercedes-Benz E250 CGI miliknya yang rosak sebelum dia terjatuh ke Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong pada 15 Januari lalu.

Selepas sembilan hari, pihak berkuasa kemudiannya menamatkan operasi SAR bermula kelmarin.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×