Reman ‘gigolo’, dua teman wanita dilanjutkan empat hari - Utusan Malaysia

Reman ‘gigolo’, dua teman wanita dilanjutkan empat hari

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki tempatan yang ditahan polis dipercayai menjual video lucahnya melakukan hubungan seks dengan lebih 20 wanita menerusi laman sosial disambung reman selama empat hari hingga esok.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam kenyataan berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 31 tahun itu bersama dua lagi wanita yang ditahan sebelum ini.

“Ketiga-tiga suspek masih direman hingga 26 Januari ini (Jumaat). Kertas Siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat setelah siasatan dilengkapkan,” katanya hari ini.

18 Januari lalu, media melaporkan lelaki tersebut ditahan bersama dua teman wanitanya berusia 23 dan 27 tahun di sebuah rumah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, pada pukul 2.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman pada Rabu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan berkata, suspek lelaki itu dikesan melalui hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai kegiatan mempromosikan aktiviti seks dirinya sendiri yang dirakam dan dijual untuk tontonan di platform Telegram.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek utama yang pernah dua kali berkahwin dan bercerai memulakan aktiviti menjual dan mempromosikan ubat kuat seks dari China menerusi platform media sosial, sejak awal tahun lalu.

“Demi mengaut keuntungan lebih tinggi, suspek kemudian mempelajari cara baharu merakam video dia melakukan hubungan seks ganas dengan teman wanitanya sebelum menjual adegan berkenaan dalam tiga saluran di aplikasi Telegram, sejak Julai tahun lalu.

“Tidak hanya teman wanita, suspek juga yang disyaki mempunyai latar belakang seorang gigolo atau lelaki upahan, turut meniduri sebahagian pelanggan wanita dalam saluran aplikasi Telegram berkenaan

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengajak pelanggan melanggan menerusi pautan promosi yang diiklankan dalam aplikasi Telegram oleh suspek sebelum urusan pembayaran dipersetujui.

“Selepas pembayaran dibuat, suspek akan menghantar pautan kepada pelanggan untuk terus menonton video lucah yang dilakonkan dan dirakam suspek sendiri,” katanya.

Menurut beliau, siasatan turut mendapati setakat 16 Januari lalu, suspek mempunyai 2,051 pelanggan untuk pakej 200 video dengan bayaran RM100 dan 622 pelanggan untuk pakej RM20 sebulan bagi 13 video.

“Semua pelanggan aplikasi ini adalah rakyat Malaysia daripada golongan lelaki miang dan wanita kesunyian yang memiliki kerjaya dalam profesional seperti doktor, usahawan dan sektor korporat,” katanya.

Beliau berkata, ada antara wanita terbabit yang mempunyai keinginan meniduri suspek turut ditawarkan syarat supaya hubungan intim dirakam untuk jualan seterusnya.

Susulan itu, suspek bersama dua teman wanitanya dibenarkan ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Sesyen Jalan Duta, di sini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun

Keseksaan atas kesalahan mempromosi aktiviti seks untuk mendapatkan keuntungan dan boleh dihukum penjara 19 tahun, sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN