LIPIS: Pemimpin di negeri ini diminta mengutamakan pembangunan lestari dengan merancang secara berperingkat tanpa memusnahkan alam sekitar dan sumber warisan sejarah serta budaya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sikap ‘gila’ terhadap pembangunan dengan mendirikan bangunan tinggi perlu dikurangkan sebaliknya merancang pembangunan lestari sesuai keperluan setempat.
“Pembangunan lestari mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di samping dapat mengekalkan keharmonian penduduk berasaskan budaya dan nilai sejarah.
“Pemusnahan alam sekitar tanpa pembangunan lestari boleh menyumbangkan kepada persekitaran yang tercemar dan timbul pelbagai penyakit dalam kalangan rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Lipis Geopark Kebangsaan di Kem Sungai Relau Merapoh di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, pembangunan lestari yang terancang dalam tempoh jangka panjang akan mewujudkan persekitaran yang sihat sekali gus membina kesejahteraan selain memberikan manfaat generasi pada masa akan datang.
Selanjutnya titah Seri Paduka, setelah kembali bertakhta di Pahang awal Februari ini selepas menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda akan melawat setiap buah daerah dengan menumpukan pemerhatian terhadap aspek kebersihan dan keceriaan bandar.
“Tujuan lawatan ini untuk memastikan pembangunan di bandar dirancang secara lestari dan pada masa yang sama mewujudkan aspek kebersihan dan keceriaan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.
“Saya menasihatkan semua pihak yang merancang pembangunan setiap daerah perlu menitikberatkan aspek kebersihan dan keceriaan penting di semua bandar dan kawasan di Pahang sejajar dengan ajaran Islam,” titah baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, Al-Sultan Abdullah gembira dengan pengiktirafan Lipis Geopark Kebangsaan oleh UNESCO yang merupakan kebanggaan rakyat negeri ini khususnya pembangunan sektor pelancongan.
“Khazanah alam sekitar dan warisan sejarah di Lipis memaparkan khazanah alam semula jadi wujud dalam tempoh ratusan juta tahun serta nilai budaya dan sejarah sejak dahulu lagi akan menjadi perhatian masyarakat negara ini serta orang luar menerusi bidang pelancongan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar serta kerajaan negeri kerana merancang serta mengusahakan daerah ini diiktiraf sebagai Lipis Geopark Kebangsaan dengan kerjasama UNESCO,” titah Seri Paduka baginda.
Tambah baginda, setiap pembangunan kemudahan awam yang dirancang di kawasan Lipis Geopark perlulah dilaksanakan secara lestari serta berperingkat tanpa memusnahkan khazanah kekal di kawasan ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengiktirafan tersebut bakal menjana industri pelancongan geologi berasaskan alam sekitar dan gua batu kapur mampu menarik pengunjung luar dari seluruh dunia malahan menjadi pusat kajian universiti tempatan dan luar.
“Lipis Geopark berkeluasan 5,198 kilometer persegi meliputi keseluruhan daerah ini terdiri daripada 28 tapak warisan geologi, 18 tapak warisan budaya dan enam tapak warisan biologi yang merupakan geopark terbesar di Malaysia,” katanya. – UTUSAN