Prosiding PAC libatkan UiTM Holdings selesai sepenuhnya - Utusan Malaysia

Prosiding PAC libatkan UiTM Holdings selesai sepenuhnya

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prosiding isu suntikan modal bernilai jutaan ringgit melibatkan syarikat pegangan pelaburan UiTM Holdings Sdn. Bhd. yang mencetus kontroversi, seperti dibangkitkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 selesai sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, isu UiTM Holdings antara tujuh perkara yang dipilih dalam LKAN 2022.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, kesemua laporan prosiding berkaitan dijangka dibentang pada mesyuarat Dewan Rakyat yang dijadual bermula 26 Februari ini.

Katanya, isu lain selesai sepenuhnya ialah Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang turut terkandung di dalam LKAN 2022, mengenai kegagalan lembaga itu mengutip hasil pajakan tanah bagi dua projek keseluruhan bernilai RM11.49 juta.

“Isu-isu lain adalah Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS), Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar, Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara dan Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah.

“Namun, PAC berpandangan prosiding bagi tiga isu selesai sepenuhnya iaitu berkaitan LADA, UiTM Holdings dan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara.

“Prosiding empat isu lain akan diteruskan dengan prosiding susulan memandangkan jawatankuasa berpendapat masih ada penjelasan perlu diberi kementerian berkaitan tajuk-tajuk terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 22 November tahun lalu, LKAN 2022 mengenai pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan menyatakan, suntikan modal RM259.98 juta oleh UiTM kepada UiTM Holdings didapati tidak mempunyai kelulusan Menteri Kewangan yang tidak selaras dengan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173).

Laporan itu menjelaskan modal berbayar terdiri daripada saham biasa berjumlah RM124.38 juta dan Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul Islam berjumlah RM135.60 juta.

“Pengurusan aktiviti pelaburan tidak teratur bagi aspek suntikan modal oleh UiTM kerana tiada kelulusan Menteri Kewangan diperoleh,” kata laporan itu.

Berdasarkan semakan audit juga, UiTM Holdings didapati belum mencapai mandat dan objektif penubuhan sepenuhnya dalam melaksana peranan sebagai syarikat pegangan pelaburan dalam syarikat subsidiari yang memberi pulangan kepada UiTM.

“Prestasi output tidak memuaskan daripada aspek petunjuk prestasi utama (KPI) yang tidak mencapai sasaran dan tidak dipantau oleh Lembaga Pengarah UiTM Holdings serta pelaburan dalam syarikat subsidiari mengalami penjejasan nilai sebanyak 52 peratus,” katanya.

Kedudukan kewangan kumpulan UiTM Holdings pula kurang stabil dalam tempoh dinilai, sementara keberhasilan aspek pulangan dividen kepada UiTM belum dapat dinilai, namun, keberhasilan projek jana kuasa elektrik solar bumbung adalah berkesan.

LKAN juga mendapati aktiviti pelaburan dalam bidang perniagaan tenaga adalah kurang cekap, berikutan terdapat kelemahan dalam pelaksanaan projek jana kuasa solar elektrik berskala besar dan solar bumbung.

TOL

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata, PAC bercadang memulakan prosiding berhubung pengurusan pelaksanaan projek Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) pada minggu pertama mesyuarat Dewan Rakyat yang dijadual bermula 26 Februari ini.

Katanya, pihaknya akan memanggil wakil Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta mendapatkan pandangan daripada operator lebuh raya mengenai pelaksanaan projek itu pada prosiding berkenaan.

MLFF ialah satu sistem kutipan tol tanpa perlu berhenti yang menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) yang dirancang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol.

Pelaksanaannya diluluskan pada 2021 oleh kerajaan terdahulu dengan peruntukan awal berjumlah RM3.46 bilion.

Bagaimanapun, projek itu dilaporkan dibantah 32 syarikat konsesi tol lebuh raya yang mendakwa kerajaan telah menganugerahkannya secara langsung kepada sebuah syarikat swasta, YTL Corporation Bhd, tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akan membiayai pelaksanaannya.

Isu itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata kerajaan akan meneliti semula perjanjian dan proses pengurusan tender yang dibuat berhubung projek itu.

Dalam pada itu, kata Mas Ermieyati, PAC juga akan meninjau bangunan sekolah daif di Sarawak dan Sabah bagi melengkapkan prosiding pembangunan semula bangunan daif di sekolah dan jawatankuasa itu komited untuk membentang semua laporan berkaitan pada sidang Parlimen depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×