KUALA LUMPUR: Polis mengesan pengasuh warga asing yang melarikan diri selepas disyaki mendera kanak-kanak lelaki tiga tahun sehingga patah kaki.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pengasuh terbabit melarikan diri sebelum majikannya membuat laporan polis pada 8 Januari.
“Pengasuh berkenaan belum ditemukan namun kertas siasatan telah dibuka.Kita masih mengesan keberadaan pengasuh yang menyebabkan kanak-kanak tiga tahun patah kaki,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kuala Lumpur di sini hari ini.
Terdahulu pada 11 Januari lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dilaporkan dicubit, digigit dan dipukul sehingga patah kaki oleh pengasuhnya.
Perkara berkenaan terbongkar selepas kanak-kanak malang itu tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan teruk.
Ibu kanak-kanak yang berusia 36 tahun mendakwa mengambil pengasuh itu daripada agensi pekerjaan warga asing kira-kira tiga tahun lalu.
Pengasuh wanita itu ditugaskan membantu menjaga anaknya yang menerima rawatan di HKL akibat masalah kesihatan.
Pada 2022, pengadu mula menyedari terdapat kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan, muka serta kemaluan anaknya namun, pengasuh menafikan melakukan penderaan.
Rakaman keterangan pengadu sudah diambil manakala siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sedang dijalankan.- UTUSAN