PM yakin PTP mampu jadi hab logistik terbaik dunia - Utusan Malaysia

PM yakin PTP mampu jadi hab logistik terbaik dunia

ANWAR Ibrahim mendengar penerangan tentang persekitaran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di anjung tinjau oleh Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Che Khalib Mohamad Noh sebelum menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota PTP di Iskandar Puteri, Johor semalam. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang merupakan anak syarikat Kumpulan MMC bakal terus memacu perkembangan sektor logistik dan pelabuhan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu terbukti dengan kejayaan pelabuhan itu mencapai kedudukan sebagai pelabuhan ke-15 paling sibuk di dunia.

“Dahulu, saya beri sokongan kuat kepada pembinaan pelabuhan ini, saya bersyukur dan berasa bangga dengan pencapaian yang telah diraih pelabuhan ini sekarang. 

“Walaupun dengan adanya pengurusan yang baik, cekap dan mantap, tetap tidak mungkin tercapai kejayaan seperti ini tanpa adanya komitmen daripada kakitangan. Jadi, saya berharap sekiranya PTP meraih keuntungan, jangan lupa untuk diagih-agihkan kepada pekerja,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Perdana Menteri berharap PTP akan terus meningkatkan lagi kedudukannya, sekali gus menjadi pelabuhan terbaik di peringkat global, khususnya di rantau ini.

Sementara itu, Che Khalib Mohamad Noh dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan melabur RM26 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membina pelbagai pembangunan di Sungai Pulai, di sini.

“MMC juga akan membangunkan sebuah ‘Green Fuel Terminal’ bagi pembekalan metanol untuk industri perkapalan. Ini merupakan suatu inisiatif yang selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Selain memiliki kemudahan bertaraf dunia, PTP juga telah menjadi titik rujukan bagi industri maritim serantau. Ini melibatkan pelbagai bidang lain, termasuk kelestarian, pendigitalan melalui Internet of Things (IoT), inisiatif pemerkasaan tenaga kerja wanita serta penyediaan latihan vokasional dan teknikal industri.

“PTP merupakan hab bagi  pemindahan kontena paling sibuk di Malaysia, meliputi 1,900 ekar (760 hektar) kawasan terminal dan 1,600 ekar (640 hektar) kawasan zon bebas yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat perkapalan utama global,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya