PDRM tiada maklumat bawa pulang dua rakyat Malaysia dari Guantanamo - Utusan Malaysia

PDRM tiada maklumat bawa pulang dua rakyat Malaysia dari Guantanamo

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung usaha membawa pulang dua warga Malaysia yang kini berada dalam tahanan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

“Kita belum dapat sebarang maklumat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan sedang mempercepatkan usaha membawa pulang dua warga Malaysia yang kini berada dalam tahanan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, perkara itu dibincangkan beliau dalam pertemuan dengan Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow, di New York baru-baru ini.

Dua rakyat Malaysia itu adalah Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

Pada 16 Januari lalu, Nazir, 46, dan Farik, 48, mengaku bersalah bersubahat dalam serangan bom di Bali pada Oktober 2002, selepas 20 tahun dikurung tanpa perbicaraan di Teluk Guantanamo, Cuba.

Mereka kali pertama didakwa pada 2018 dengan sembilan kesalahan dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa dan pengeboman Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 11 kematian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN