NSFC lantik CEO baharu, akan pilih ketua jurulatih ganti Devan - Utusan Malaysia

NSFC lantik CEO baharu, akan pilih ketua jurulatih ganti Devan

TUNKU SYED RAZMAN TUNKU SYED IDRUS AL-QADRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom, 31, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) yang baharu.

Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang juga Presiden PBNS turut memaklumkan, NSFC yang merupakan syarikat milikan penuh PBNS turut akan memilih ketua jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Menurut beliau, dua keputusan penting berkaitan penstrukturan semula pengurusan dan hala tuju NSFC itu antara yang dicapai hasil Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif PBNS Kali Ketiga 2022-2025 yang berlangsung baru-baru ini dan turut dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah NSFC.

“Satu jawatankuasa pemilihan juga telah dibentuk bagi memilih Ketua Jurulatih Liga Super NSFC yang baharu dan keputusannya akan diumumkan dalam masa terdekat. Jawatankuasa tersebut akan dibarisi oleh kepemimpinan tertinggi PBNS dan pengurusan NSFC,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tunku Syed Razman yang juga Pengerusi NSFC menambah, Muhammad Faliq Firdaus selaku CEO akan mengetuai inisiatif penstrukturan semula itu.

“Penstrukturan semula ini melibatkan enam teras utama iaitu pengenalan falsafah bola sepak kelab, pelan perniagaan baharu, penstrukturan semula tangga gaji, pembangunan infrastuktur, pembangunan pasukan belia dan pemerkasaan hubungan antara pemegang taruh,” katanya lagi.

Di bawah kendalian K. Devan selaku ketua jurulatih pada musim lalu, NSFC mengakhiri 26 perlawanan secara keseluruhan dalam Liga Super 2023 dengan berada di tangga kesembilan dan mengumpul sebanyak 27 mata.

Ia merupakan kemerosotan prestasi berbanding musim 2022 apabila pasukan Hoben Jang Hoben itu menduduki tangga keempat Liga Super dan berjaya memenangi Liga Perdana pada musim sebelumnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya