HULU TERENGGANU: Seorang nenek sembilan cucu di Kampung Peroh, dekat sini terpaksa menggagahkan diri menolak motosikal sejauh kira-kira 50 meter untuk dipindahkan ke tempat selamat setelah rumahnya dilanda banjir.
Hindon Ibrahim, 69, berkata, hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan lebih 10 rumah termasuk kediamannya dinaiki air ekoran limpahan Sungai Hulu Belawan.
Menurutnya, air mula melimpah di kampung itu kira-kira pukul 9.30 pagi dan dia yang tiada di rumah hanya mengetahui kejadian setelah menerima panggilan telefon daripada jirannya.
“Saya bergegas pulang ke rumah dan ketika itu halaman rumah telah dipenuhi air sedalam kira-kira 0.5 meter. Saya cepat-cepat menolak motosikal ke tempat selamat sejauh 50 meter serta beberapa barangan lain.
“Sewaktu keluar rumah pukul 9 pagi keadaan masih baik, tidak sangka tiba-tiba jiran telefon bagitau air sungai terletak di belakang rumah sudah melimpah,” katanya ketika ditemui di Kampung Peroh, Ajil, di sini, hari ini.
Tambah Hindon, sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini sudah enam kali pekarangan rumahnya ditenggelami banjir, namun belum berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Seorang lagi penduduk, Zaimah Mohd., 39, berkata, dia yang sebelum kejadian berada bersama-sama Hindon segera pulang ke rumah sejurus mendapat perkhabaran kediamannya telah dilanda banjir.
“Saya difahamkan lebih 10 buah rumah terjejas di kampung ini. Ketika sedang mengemas barangan di dalam rumah, paras air semakin meningkat sehingga cecah satu meter.
“Hanya mesin basuh serta peti sejuk telah dibawa turun untuk kegunaan harian. Tidak sangka hari ini banjir berlaku lagi, kami hanya mampu berharap hujan berhenti cepat bagi elak paras air terus meningkat,”ujarnya. – UTUSAN