35,000 guru KAFA dapat elaun tambahan

35,000 guru KAFA dapat elaun tambahan

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebahagian guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang mengajar melebihi tiga hari bekerja dalam seminggu diberi tambahan elaun mengikut keupayaan negeri masing-masing.

Langkah itu antara usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan 35,000 kumpulan guru berkenaan dibantu oleh Agensi Pelaksana KAFA Negeri selaku pihak berkuasa yang melantik dengan kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Negeri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, rundingan dengan pihak berwajib di dalam mewujudkan perjawatan guru KAFA akan diteruskan agar satu hari nanti mereka diberikan gaji yang setaraf dengan pendidik yang lain.

“Masa bekerja guru KAFA yang ditetapkan di dalam peraturan-peraturan pelaksanaan KAFA baharu tahun 2022 adalah masih kekal dengan bekerja selama tiga hari dalam seminggu.

“Elaun guru KAFA adalah dibayar berdasarkan jumlah jam bekerja yang diperuntukkan,” katanya di sini semalam.

Mohd. Na’im berkata, program KAFA yang dilaksanakan ini adalah merupakan program pengukuhan kepada pendidikan Islam arus perdana dan menjadi satu daripada teras dalam Pelan Transformasi Al Falah iaitu Memperkukuh Institusi Pendidikan Al-Quran dan Fardu Ain, Program KAFA Perdana.

Namun, katanya, usaha menambah baik jurang perbezaan antara guru KAFA dengan pendidik lain adalah bukan mudah kerana melibatkan penambahbaikan waktu bekerja.

Kata beliau, ini termasuk penyesuaian masa pengajaran dan pembelajaran (PdP) di premis KAFA yang kebanyakan berada di sekolah-sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain itu, kata beliau, syarat dan keperluan yang ditetapkan oleh pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu dipenuhi untuk menambah baik elaun guru KAFA.

⁠”Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) komited memperjuangkan dan membela nasib seramai 35,000 guru KAFA selaku agensi yang bertanggungjawab dengan pelaksanaan KAFA di seluruh negara sejak awal penubuhannya pada 1990.

“Setelah hampir 34 tahun guru KAFA menabur bakti mendidik anak bangsa selama itulah juga Jakim konsisten memberikan kemudahan seperti kenaikan elaun mengajar, bantuan khas kewangan (one-off) serta cuti-cuti yang berkelayakan turut diberikan kepada semua guru KAFA

“Sehingga kini guru KAFA menerima elaun mengajar, caruman KWSP dan PERKESO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN