Lelaki Nigeria lari takut polis maut jatuh tingkat 16 kondominium - Utusan Malaysia

Lelaki Nigeria lari takut polis maut jatuh tingkat 16 kondominium

Bomba dan polis mengusung mayat lelaki Nigeria jatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang lelaki Nigeria ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban di sini semasa melarikan diri daripada dicekup polis.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu bertindak sedemikian selepas unit rumahnya diserbu sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas disyaki menjadi lokasi aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam itu, polis menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di rumah tersebut.

“Ketika polis mengetuk pintu rumah terbabit, seorang lelaki dipercayai warga Nigeria dilihat keluar.

“Tetapi, dia kemudian masuk semula dan mengunci pintu besi serta pintu rumah selepas sedar kehadiran pihak polis,” katanya di sini, malam tadi.

Menurut Razlam, setelah polis memecah masuk rumah berkenaan mendapati lelaki Nigeria terbabit tiada dalam kediaman itu.

“Ketika pemeriksaan, terdapat seorang lagi lelaki dipercayai warga Nigeria di dalam rumah berkenaan dan telah ditahan.

“Disebabkan tangkapan tidak menemukan lelaki yang membuka pintu pada awal kehadiran polis, pihak polis  membuat pemeriksaan di kawasan perumahan tersebut.

“Polis kemudian menemukan mayat lelaki yang terbaring di tingkat bawah iaitu lelaki yang dipercayai  membuka pintu rumah  ketika kehadiran polis,” katanya.

Dalam pada, jelasnya, polis turut menahan seorang lagi lelaki Nigeria dipercayai rakan kepada lelaki yang ditemukan mati.

“Dalam serbuan itu, pihak polis menemui sejumlah dadah jenis ekstasi dan syabu dalam rumah yang disewa mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek yang maut akibat jatuh dari kondominium terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” tambahnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN