Kos haji: Kerajaan, TH berusaha bantu ringankan beban bakal jemaah - Utusan Malaysia

Kos haji: Kerajaan, TH berusaha bantu ringankan beban bakal jemaah

DR. ZULKIFLI Hasan (tiga dari kanan) beramah mesra dengan peserta kursus sempena Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Haji di Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) berusaha sebaik mungkin bagi membantu meringankan beban kos kewangan bakal jemaah yang terpilih menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan malah berkata, bantuan kewangan yang sangat besar diberikan kepada jemaah haji mengikut kategori masing-masing.

Menurut beliau, bakal haji daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan sebanyak 63 peratus daripada kos keseluruhan haji.

“Bayaran haji bagi kumpulan 40 peratus pertengahan (M40) yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah sebanyak 42 peratus daripada kos keseluruhan. Kerajaan dan TH telah cuba dengan sepenuh usaha membantu meringankan (beban kewangan) jemaah haji kita tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas Haji di Masjid Kariah Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Baru-baru pihak TH mengumumkan kadar bayaran bagi seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356. Untuk kumpulan M40 pula ditetapkan pada RM19,152.

Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M.

Dalam pada itu, Zulkifli menolak dakwaan bahawa penyaluran subsidi akan menggunakan duit pendeposit TH.

“Saya menasihatkan untuk pendeposit tidak bimbang. TH telah memperuntukan sumber-sumber mereka sendiri untuk membantu kewangan, tidak mengganggu gugat atau menyusahkan pendeposit,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut memuji tahap kesedaran bakal jemaah haji terhadap kemampuan menunaikan ibadah tersebut yang semakin meningkat apabila pada tahun lalu kira-kira 500 jemaah haji B40 dan M40 menolak subsidi kerajaan.

“Banyak faktor peningkatan ini antaranya Covid-19, pertukaran mata wang, cukai dan faktor-faktor lain. Namun begitu, yang lebih menarik pada tahun lalu, walaupun TH menawarkan B40 dan M40 bantuan kewangan besar, namun mereka menolak.

“Mereka membayar penuh iaitu di luar kebiasaan, jemaah haji ini faham dan ingin bersama-sama membantu sahabat-sahabat yang kekurangan,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Arab Saudi juga memberikan kuota haji sekitar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini dan bukannya daripada jumlah penduduk Muslim menjadikan seramai 31,600 individu berpeluang menunaikan haji kali ini.

Sementara itu, seorang peserta kursus haji tersebut, Hamidah Payun, 61, dari Senawang, di sini gembira apabila dia dan suaminya terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Katanya, walaupun terdapat kenaikan kadar kos haji kali ini namun sewajarnya ia tidak perlu dijadikan isu sangat memandangkan berlaku peningkatan kos daripada pelbagai aspek ketika ini.

Apa yang lebih utama katanya, peluang menunaikan rukun Islam kelima itu dapat dilakukan dengan baik oleh semua individu yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT.

“Sejak usia awal 30-an lagi, saya yang merupakan suri rumah sudah simpan duit pemberian suami, Mazlan Samah, 63, iaitu pesara polis dengan niat mahu menunaikan haji.

“Pada tahun 2021 saya dapat panggilan haji namun disebabkan berat badan terlebih empat kilogram, saya tidak dapat ke sana. Alhamdulillah, semalam, suami mendapat mesej kami berdua terpilih menjadi tetamu Allah,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN