Keluarga tertekan, anak demam rindukan Bella - Utusan Malaysia

Keluarga tertekan, anak demam rindukan Bella

Gambar kenangan Bella dan anaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Memasuki hari ke-33 kehilangan Mira Sharmila Samsusah,34, membuatkan keluarganya semakin tertekan, terutamanya ibu dan dua anaknya yang sering bertanyakan di mana ibu mereka.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan di manakah dia yang lebih dikenali sebagai Bella berada,  sama ada oleh pihak polis atau pengamal perubatan Islam, namun hingga kini kehilangannya kekal misteri.

Kakaknya, Norisham, 36, berkata, ada pengamal perubatan Islam memberitahu  bahawa Bella masih hidup, manakala ada juga mengatakan sudah meninggal dunia. 

“Jika masih hidup, di mana dia? Siapa yang memberikan makan minumnya selama sebulan ini dan jika sudah meninggal dunia di mana mayatnya? Kenyataan polis pula mengatakan masih dalam negara, di mana dia dan siasatan masih dijalankan tapi hingga kini kami tidak dimaklumkan apa-apa perkembangannya,” katanya dalam media sosial TikTok di sini.

Ibunya, Noraini Salleh kini menjadi seorang yang lebih suka menyendiri dan pendiam tanpa mahu berbicara dengan sesiapa akibat bimbang dan sering memikirkan di mana adik bongsunya itu. 

Keadaan itu amat membimbangkannya untuk keluar bekerja kerana khuatir ibunya melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri akibat daripada kemurungan itu. 

“Anak-anak Bella, Eusuf, 4, dah Maream, 1, juga sering bertanya dan mencari-cari kehilangan ibu mereka, malah ada ketika mereka demam kerana terlalu rindu,” katanya. 

Pada 14 Disember lalu, ibu tunggal beranak dua tersebut dilaporkan hilang selepas keluar dengan teman lelakinya pada pukul 11.50 malam dengan menaiki sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih. 

Sepanjang tempoh itu, lapan individu termasuk teman lelakinya yang berusia 24 tahun ditahan polis untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kehilangan wanita itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN