Kebakaran rumah ibu tunggal gemparkan penduduk Kampung Pagi - Utusan Malaysia

Kebakaran rumah ibu tunggal gemparkan penduduk Kampung Pagi

FAZRI Adam Abdullah menunjukkan rumahnya yang musnah terbakar di Kampung Pagi, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kejadian kebakaran rumah ibu tunggal, Sarina Abd. Ghani, 46, kira-kira pukul 2 pagi hari ini menggemparkan penduduk yang sedang nyenyak tidur di Kampung Pagi, Ulu Tembeling di sini.

Ketika kejadian, Sarina yang bertugas sebagai tukang masak di sebuah sekolah berdekatan tiada di rumah kerana tidur di bilik pekerja asrama sekolah terbabit bersama anak saudaranya, Siti Nasilah Ehsan, 21, untuk persedian memasak pada keesokan hari.

Dalam kejadian itu, seorang anak Sarina, Fazri Adam Abdullah, 14, yang sedang nyenyak tidur di sebuah bilik dalam rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri apabila terjaga selepas terhidu bau asap.

Fazri Adam berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 2 pagi, dia tersedar daripada tidur apabila terhidu bau asap yang menyelubungi ruang biliknya.

“Saya segera bangun apabila keseluruhan dalam rumah ini dipenuhi asap dan terdengar bunyi letupan kayu yang terbakar serta api dipercayai mula daripada dapur dan marak begitu cepat ke bahagian bilik.

“Melihat keadaan api yang marak, saya segera keluar daripada rumah dan menjerit meminta tolong,” katanya di Kampung Pagi kira-kira 130 kilometer dengan bandar Jerantut hari ini.

Sementara itu, Sarina berkata, dia bergegas pulang ke rumah setelah dihubungi oleh jirannya memaklumkan kejadian tersebut.

“Dari jauh sudah kelihatan api yang marak dengan kuat dan dalam fikiran saya hanya teringat keselamatan anak (Fazri Adam) yang kebiasaan dia tinggal berseorangan di rumah.

“Saya bersyukur anak saya selamat dalam kejadian ini bagaimanapun amat sedih melihat kediaman saya sudah musnah 100 peratus dalam kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pagi, Mi Hamidi Nipah berkata, keluarga ibu tunggal ini akan menumpang sementara di rumah saudaranya sebelum menerima bantuan membaikpulih kediamannya yang musnah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya