Jakim gerak #GengSubuh di tiga masjid minggu depan - Utusan Malaysia

Jakim gerak #GengSubuh di tiga masjid minggu depan

MOHD. NA'IM Mokhtar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa pada Misi Bantuan Pasca Banjir Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong usaha selebriti, Alif Satar yang menggerakkan #GengSubuhMacamJumaat dengan memperluaskannya di tiga masjid utama di bawah pentadbirannya bermula minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tiga masjid berkenaan adalah Masjid Putra, Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin dan Masjid Negara sebelum diperluaskan ke masjid lain.

Kempen tersebut diteruskan di peringkat Persekutuan susulan kejayaannya yang dimulakan selebriti tersebut ditambah pula dengan kejayaan Program Semarak Subuh dianjurkan kerajaan negeri Johor.

“Kita akan menyokong. Tagline dia subuh macam Jumaat kita akan kekalkan dan akan berikan sokongan kepada beliau sama juga Datuk Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor) Mohd  Fared Mohd  Khalid dan menyokong usaha-usaha ini di peringkat negeri serta sudah tentu di peringkat Persekutuan.

“Kita akan gerak ke tiga buah masjid ini untuk menyokong sebab masjid yang saudara Alif buat pun di Bukit Damansara juga adalah masjid di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 

“Kita akan adakan bermula 27 Januari ini, insya-Allah akan berterusan dan akan bergerak di masjid yang akan kita tentukan nanti. Kita akan bekerjasama untuk kebaikan kepada sesiapa sahaja yang mengajak kepada kebaikan, sebab itu saya harapkan golongan muda dan belia macam Alif Satar dengan pangkat yang dia ada sebagai selebriti mampu membawa anak-anak muda ini (ke masjid),” katanya selepas menyempurnakan Misi Bantuan Pasca Banjir Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Kampung Sungai Telor, dekat sini hari ini. 

Terdahulu, Mohd. Na’im diminta mengulas mengenai sama ada kejayaan menghimpunkan lebih 12,000 jemaah pada Program Semarak Subuh dan kempen #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru kelmarin akan diteruskan di peringkat Persekutuan.

Program Semarak Subuh yang merupakan inisiatif Onn Hafiz, mula dilaksanakan 5 Januari lalu dengan pelaksanaan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri  ( DUN) Johor dengan peruntukan berjumlah RM560,000, membabitkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor.

Sementara itu, kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakan Alif sejak Disember huga mula menjadi ikutan ramai dan turut digerakkan pempengaruh lain di seluruh negara.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im yang berada di negeri ini untuk misi pasca banjir berkata, sebanyak RM1,546,162.25 nilai keseluruhan sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diagih-agihkan dalam program selama dua hari itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya