KUALA LUMPUR: Penguasaan politik, ekonomi dan penggubalan dasar akan dimonopoli orang bukan Melayu jika bangsa Melayu terus bergaduh, berpecah dan merebut kuasa seperti yang sedang berlaku ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kebimbangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai nasib Melayu didakwa boleh lenyap perlu diberi perhatian kerana sudah ada tanda-tanda ke arah itu.
Menurut beliau, petanda itu mudah iaitu antaranya perkembangan politik kini menyaksikan kekuasaan Melayu beralih jadi barisan pembangkang manakala bukan Melayu jadi kerajaan.
PENGARUH
“Dalam kerajaan hari ini, pengaruh Melayu sudah berkurangan, dan kalau lihat pun Melayu memang kuat tetapi di sebelah pembangkang. Masalahnya ialah pembangkang sukar untuk membuat sebarang keputusan melibatkan negara kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri menunjukkan sebanyak 80 peratus Melayu menyokong Perikatan Nasional (PN).
“Kalau keadaan ini berterusan di mana Melayu terus menjadi pembangkang, kekuasaan ekonomi, politik dan menggubal dasar, semua itu tidak akan dikuasai oleh orang Melayu lagi,” kata beliau semalam.
Semalam, Dr. Mahathir berkata, bangsa Melayu berisiko untuk hilang dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya mereka tidak memulakan gerakan untuk kembali bersatu-padu bermula dari sekarang.
Dakwa Dr. Mahathir, Melayu juga akan ditawan dan ‘hilang tanpa perang’ ekoran tiada sesiapa yang mengambil berat terhadap nasib bangsa itu ketika ini.
Dalam perkembangan sama, Pakar Perlembagaan, Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, kebimbangan Dr. Mahathir bukan perkara baharu, malah ia turut disifatkan sebagai cabaran globalisasi yang boleh melunturkan identiti bangsa.
Menurut beliau, meskipun Malaysia mempunyai Perlembagaan dan undang-undnag, namun perkara itu boleh menjadi ‘longgar’ susulan perubahan sosial masyarakat yang sedang berlaku.
IDENTITI
“Undang-undang ini bergerak secara mobilisasi di mana ia boleh berubah dengan mengikut sosial masyarakat. Kalau Melayu itu sendiri tidak kekalkan identiti dari segi agama dan budaya, maka lama kelamaan yang ada dalam undang-undang Melayu itu juga boleh terancam.
“Maka sebab itu kita perlu kukuhkan jati diri di peringkat akar umbi. Kalau ini diabaikan, sekukuh mana pun undang-undang saya tidak berani nak kata berapa tahun, kerana identiti itu boleh menjadi longgar dan akhirnya luntur.
“Contoh identiti Melayu yang semakin luntur ialah tulisan Jawi. Kalau penggunaan tulisan Jawi tidak diberi perhatian khusus, ia akan hilang, sekali gus menghilangkan budaya Melayu itu sendiri,” kata beliau.
Malah, kata Shamrahayu, undang-undang sedia ada yang menjamin hak untuk orang Melayu tidak boleh diambil mudah meskipun perkara itu termaktub dalam Perlembagaan.
“Institusi beraja juga kita perlu perkukuhkan dan jangan ambil mudah walaupun sudah dijamin dalam Perlembagaan.
“Kita masih ada peluang untuk satu padukan politik orang Melayu kerana ia bukan perkara baharu untuk dibimbangkan, perpaduan Melayu dalam politik ini sudah lama dibimbangi dan cabaran yang dirasai sudah pun berpuluh tahun lamanya,” katanya. – UTUSAN










