Ibu dua anak dipenjara lima tahun dan denda RM80,000 perdagang bayi 13 bulan - Utusan Malaysia

Ibu dua anak dipenjara lima tahun dan denda RM80,000 perdagang bayi 13 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu tadbir sebuah maktab dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM80,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang bayi lelaki berusia 13 bulan untuk tujuan eksploitasi.

Hakim Azura Alwi turut menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 terhadap Nurul Faizan Ahmad Asri, 40, selepas mensabitkannya atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu atas nama bayi berkenaan.

Mahkamah memerintahkan suri rumah itu dipenjara dua tahun lagi jika gagal membayar denda RM80,000 dan dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda RM10,000.

Azura membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Beliau bagaimanapun memerintahkan denda berjumlah RM90,000 dijelaskan manakala hukuman penjara diperintah berkuat kuasa serentak bermula hari ini.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang perintah terhadap kos seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Ketika menyampaikan keputusannya, Azura berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan manakala dua saksi pendakwaan bukan rakan sejenayah.

Mahkamah turut berpuas hati, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak pernah menerima wang RM22,000 hasil pemerdangan bayi berkenaan, adalah penafian kosong semata-mata.

Selain itu, Azura berpendapat, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui kandungan sampul coklat yang diserahkan kepadanya, juga penafian semata-mata.

Nurul Faizan didakwa memperdagangkan bayi berkenaan dengan cara memindahkan milikannya dengan pertukaran wang kira-kira pukul 5 petang, 5 November 2020 di Hospital Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Ibu anak dua itu juga disabitkan atas pertuduhan menggunakan Borang Daftar Kelahiran JPN LM01 palsu atas nama bayi berkenaan pukul 10.30 pagi, awal November 2020 di Jabatan Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Nurul Faizan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Keterangan kes menunjukkan, wanita itu yang mengendalikan akaun Facebook berkaitan anak angkat, pada awalnya dihubungi oleh seorang wanita yang bertanyakan kos mengambil anak angkat dan bayaran mendapatkan sijil kelahiran bayi.

Wanita itu yang merupakan saksi pendakwaan ketujuh (SP7) diberitahu, kos mengambil anak angkat yang baharu lahir ialah RM10,000 manakala RM12,000 bagi sijil kelahiran.

Siasatan lanjut mendapati, bayi itu yang merupakan anak kandung kepada seorang warganegara Indonesia, dilahirkan di sebuah pusat perubatan swasta di sini.

Semua perbelanjaan dan kos perubatan ditanggung oleh Nurul Faizan manakala ibu kandung bayi itu hanya menerima RM1,000 bagi kos jamu.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim dan Nadia Muhd. Izhar manakala peguam-peguam Ahmad Hafiz A. Bakar dan Marisha Dianah Md. Darus mewakili tertuduh.

Terdahulu, Ahmad Hafiz berhujah agar Nurul Faizan dikenakan hukuman minimum atas alasan anak guamnya menghidap penyakit jantung dan tulang belakang yang kronik.

“Anak guam saya tiada niat untuk memperdagangkan bayi berkenaan sebaliknya sekadar membantu ibu kandungnya selain bagi mengelakkan kes pembuangan bayi berlaku,” ujar peguam itu.

Bagaimanapun, Iznina Hanim berhujah agar wanita itu dikenakan hukuman setimpal kerana tindakannya menyebabkan bayi berkenaan mendapat status warganegara dan menikmati keistimewaan sama seperti bayi yang dilahirkan di negara ini.

Hujah pendakwaan, Nurul Faizan sepatutnya menggunakan saluran yang betul melalui JPN dan tidak memalsukan dokumen.

Nadia pula memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap wanita itu ditolak kerana tiada keadaan istimewa yang mewajarkan permohonan tersebut dibenarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN