ECRL: Nilai kontrak bumiputera RM2.59 bilion meragukan

ECRL: Nilai kontrak bumiputera RM2.59 bilion meragukan

ecrl
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) diminta mempe­rincikan nilai kontrak berjumlah RM2.59 bilion bagi kerja-kerja si­vil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dikatakan diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, perincian nilai kontrak itu perlu dibuat kerana angka dinyatakan amat meragukan.

Beliau berkata, MRL selaku pemilik projek berimpak tinggi itu perlu memberikan perincian tentang nama syarikat, gred dan alamat berdaftar syarikat bumiputera terlibat.

PERINCIAN

Jelasnya, perincian itu pen­ting kerana kontraktor di negeri ini khususnya kontraktor kecil yang bernaung di bawah PKMM Pahang terpinggir dalam projek ECRL yang sedang rancak dalam pembinaan.

“Projek ECRL hanya mampu dilihat dari jauh kerana kontraktor tempatan tidak diberikan ruang dan kesempatan secukupnya. Pihak yang terlibat pembinaan ECRL seolah-olah hanya melepaskan batuk di tangga dalam memastikan penyertaan kontraktor bumiputera tempatan.

“Walaupun pada permulaan projek ini pihak MRL cuba memberi peluang kepada kontraktor bumiputera, tetapi ia tidak dapat mencapai matlamat kerana kekangan syarat begitu ketat dan harga tawaran yang rendah serta kedudukan MRL yang tidak mempunyai kuasa penuh terhadap projek ECRL khususnya dalam pengagihan projek.

“Meskipun terdapat kontraktor bumiputera yang berjaya melepasi syarat prakelayakan yang begitu tinggi dan sudah mengemukakan harga tawaran, namun kebanyakannya gagal memperoleh projek yang diharapkan,” katanya di sini semalam.

Pada 11 Disember lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika berucap pada perasmian pemasangan landasan pertama ECRL di Gebeng dilaporkan berkata, sebanyak RM2.59 bilion atau 74 peratus daripada sasaran RM3.5 bilion bagi kerja-kerja sivil ECRL sudah diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.

MRL adalah syarikat bertujuan khas dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan dan pemilik projek serta aset ECRL.

China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pula syarikat kontraktor pembinaan dan pentauliahan yang mengetuai projek berimpak tinggi tersebut.

Mengulas lanjut, Abd. Gapar berkata, tiada sebarang alasan diberikan atas kegagalan itu dan tiada senarai ranking tender untuk dianalisa.

“Ketika seminar PKMM Pahang di Maran pada 26 Disember lalu, saya sempat bertanya jika terdapat dalam kalangan kontraktor yang hadir memperoleh projek dengan ECRL, jawapannya langsung tiada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×