Dua warganegara China didenda RM50,000, guna kelengkapan tidak diperakui SKMM - Utusan Malaysia

Dua warganegara China didenda RM50,000, guna kelengkapan tidak diperakui SKMM

DUA lelaki warganegara China dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui SKMM.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang lelaki warganegara China masing-masing didenda sebanyak RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Huang Xiaomin, 40, dan Zhang Cheng, 22, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Hakim turut menetapkan 10 bulan penjara sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar jumlah denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, Huang Xiaomin didakwa menggunakan 41 unit sim box tiada jenama dan model yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Zhang Cheng pula didakwa menggunakan 34 unit sim box tiada jenama dan seunit suis rangkaian jenama Tenda yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2022.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis di Taman Bukit Kepayang, di sini kira-kira pukul 2.30 petang pada 3 Januari lalu.

Berikutan itu, kedua-dua orang kena saman didakwa di bawah Peraturan-Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) pindaan 2022 dan Peraturan 16 (3) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda yang rendah dengan alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz memohon hukuman denda setimpal supaya memberi pengajaran terhadap kesemua tertuduh dengan mengambil kira kedua-dua tertuduh warganegara asing yang tidak wajar melakukan jenayah ketika berada di negara ini.

Pada 7 Januari lalu, media melaporkan satu sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang beroperasi di daerah ini dan didalangi oleh warganegara China berjaya ditumpaskan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Siasatan polis mendapati sindiket berkenaan terlibat dalam kegiatan penipuan pendaftaran kad prabayar  secara tidak sah yang menyasarkan pelanggan di negara Hong Kong.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya